Lelaki didenda RM4,000 ceroboh asrama jururawat - Utusan Malaysia

Lelaki didenda RM4,000 ceroboh asrama jururawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang pembantu perawatan kesihatan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menceroboh asrama jururawat wanita di daerah ini tiga bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Fazlin Mat Fuad, 35, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret, Saiful Sayoti.

Saiful turut menetapkan hukuman tujuh bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.

Menurut Saiful, mahkamah mengambil kira isu kepentingan awam dan tindakan berbahaya yang diambil tertuduh boleh mengancam rasa keselamatan dalam kalangan pelajar atau pekerja di kawasan hospital.

“Hukuman sewajarnya dikenakan sebagai pengajaran kepada kamu dan orang awam agar tidak melakukan kesalahan yang sama,” katanya ketika menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menceroboh masuk dengan niat melakukan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang di sebuah asrama jururawat Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sinI tanpa kebenaran kira-kira pukul 1.33 pagi pada 20 April lalu.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM 5,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pengadu iaitu seorang wanita  ketika berada di pejabat asrama jururawat (wanita) hospital kira-kira pukul 8 pagi, 22 April lalu telah mendapat tahu daripada seorang pengawal keselamatan yang bertugas mengenai kejadian ceroboh masuk di asrama jururawat.

Pengadu telah memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) pada hari kejadian yang dimaksudkan iaitu 20 April dan melihat kelibat seorang lelaki yang dikenali telah masuk ke dalam kawasan asrama tersebut. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainudin memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira, tempat tertuduh menceroboh merupakan kawasan tertuduh bekerja.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya melalui peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohamad Faisal Jaafar memohon amaun denda paling minimum berikutan kesalahan berkenaan merupakan kesalahan kali pertama.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×