Pesara bimbang, ternakan kambing jadi sasaran harimau kumbang - Utusan Malaysia

Pesara bimbang, ternakan kambing jadi sasaran harimau kumbang

MOHAMAD Daud Abd. Rashid menunjukkan gambar kambing miliknya yang mati dipercayai digigit harimau kumbang sebelum bangkai kambing itu hilang dalam kejadian di Kampung Beting Tengah, Kuala Pilah.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang penternak kambing di Kampung Beting Tengah, di sini bimbang selepas haiwan ternakannya itu menjadi mangsa sasaran harimau kumbang, sejak bulan Jun lalu.

Mohamad Daud Abd. Rashid, 65, yang juga seorang pesara polis berkata, sebelum ini dua ekor kambing ternakannya telah dimakan oleh binatang dipercayai harimau kumbang dan kejadian terbaharu pula disedari berlaku petang semalam.

Menurutnya, dalam kejadian semalam itu, dia melepaskan lima ekor kambing dari kandang berhampiran rumahnya kira-kira pukul 11 pagi sebelum dia pergi ke Bahau, Jempol.

“Saya pulang pada pukul 2 petang namun ketika itu saya tidak menyedari seekor kambing betina dewasa saya sudah digigit binatang lain.¬†

“Kira-kira pukul 6 petang, saya ke kawasan kandang dan ternampak kambing betina itu sudah mati di bawah zink dan ada kesan seperti digigit di bahagian tengkuk,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Ujar Mohamad Daud lagi, pagi tadi kambing betina seberat kira-kira 30 kilogram berkenaan sudah tiada dan dia mengesyaki harimau kumbang yang sama telah datang untuk memakan kambing yang telah mati itu.

“Masalah harimau kumbang ini juga berlaku di perkampungan berhampiran iaitu di Kampung Beting Ulu sehingga Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan telah memasang perangkap.

“Kali ini ternakan saya pula dibaham harimau kumbang berlaku lagi. Saya sudah hubungi Jabatan Perhilitan kerana bimbang selepas kambing saya yang kini hanya tinggal empat ekor sahaja,” katanya.

Hujung bulan September lalu, media melaporkan tiga ekor harimau kumbang masuk ke dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perhilitan di Kampung Beting Ulu di sini.-UTUSAN.

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.