SEREMBAN: Seorang pemuzik jalanan dijatuhi hukuman denda RM2,000 dan penjara satu bulan di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengajar kepercayaan bertentangan agama Islam berkaitan ajaran Millah Abraham kepada isterinya.
Hakim Syarie, Ruzita Ramli turut memerintahkan tertuduh, Norasid Md. Said, 50, dipenjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Norasid didakwa telah mengajar ajaran salah yang berlawanan dengan hukuman syarak kepada isterinya berusia 51 tahun dengan menyatakan bahawa ‘Selepas kewafatan Nabi Muhammad akan muncul Rasul baru’.
Kesalahan itu dilakukan di Felda Palong 3, Gemas, Tampin lebih kurang pukul 10 hingga 11 malam antara 1 September hingga 30 September 2023.
Pendakwaan terhadap Norasid dibuat di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu dalam prosisiding kes, Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Abdul Wafi Rahim mencadangkan hukuman denda maksimum dan pemenjaraan kepada tertuduh.
Abdul Wafi berkata, kesalahan dilakukan tertuduh adalah berat dan berkaitan dengan akidah yang boleh memudaratkan dan meruntuhkan institusi negara jika disebarkan.
Tertuduh kemudian dalam rayuannya memohon hukuman yang ringan kerana bekerja sendiri sebagai pemuzik jalanan serta mengambil upah mesin rumput dengan gaji kurang RM1,200 sebulan selain telah bertaubat.
Norasid turut mengejutkan kamar mahkamah apabila memberitahu dia menghidap HIV dan kini masih mendapatkan rawatan selain menanggung isteri dan tiga orang anak.
Selain itu, Norasid tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu didakwa mengajar ajaran salah yang berlawanan dengan hukuman syarak kepada isterinya berusia 51 tahun dengan menyatakan ‘Solat itu syirik kerana kita melakukan perbuatan sujud seperti menyembah sesuatu objek’ dan berkaitan lafaz ‘Aku bersaksi tiada Tuhan disembah melainkan tuan semesta alam dan Rasul Mesiah adalah pesuruh tuan sekalian alam’.
Kesalahan itu dilakukan di lokasi dan masa sama antara 1 Jun hingga 31 Ogos yang mana pendakwaan turut dibuat di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019.
Pihak pendakwaan syarie tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dan meminta tertuduh ditahan di penjara sehingga kes selesai selain melapor diri di Pejabat Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Abdul Wafi berkata, sekiranya tertuduh bebas dikhuatiri dia boleh mengganggu keselamatan isterinya yang tinggal dalam rumah yang sama.
“Dikhuatiri perkara tidak baik berlaku sepanjang perjalanan kes seandainya tertuduh dibenarkan berjumpa isteri, tanpa kawalan keterangan (ajaran) diperoleh isterinya boleh dipesongkan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua orang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri dua minggu sekali di pejabat JHEAINS.
Sekiranya gagal membayar jaminan, tertuduh akan dipenjarakan dan kes ditetapkan utuk sebutan semula pada 7 Oktober depan.
Difahamkan tertuduh telah dibawa ke Penjara Jelebu untuk hukuman pemenjaraan setelah gagal membayar denda dan jaminan yang dikenakan oleh mahkamah.
Utusan Malaysia melaporkan tiga beranak dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan JHEAINS dalam serbuan di dua buah rumah berasingan di Felda Sungai Kelamah dan Felda Palong 3, Gemas semalam.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, pasangan suami isteri berusia 40-an serta anak lelaki mereka berusia 16 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang.
Suami isteri itu ditahan di rumah sewa mereka di Felda Sungai Kelamah manakala anaknya di rumah asal mereka di Felda Palong 3.-UTUSAN.









