PETALING JAYA: Terdapat lebih 20 draf undang-undang Islam masih dalam simpanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Peguam Negara.
Ia sepatutnya dijadikan sebagai Rang Undang-Undang (RUU) untuk dibentangkan ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menambah baik sistem perundangan syariah Malaysia.
Bekas Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Muhamad Asri Abdullah berkata, antaranya membabitkan undang-undang faraid atau pentadbiran harta pusaka, wakaf dan hibah.
Kata beliau, negara memerlukan satu peraturan berkaitan muamalat dan harta yang selari dengan kehendak syarak.
Katanya, dakwaan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 perlu dikaji kerana ia dibuat terburu-buru akan mencetuskan polemik tidak kesudahan, sedangkan usaha menggubal undang-undang itu telah berlaku sejak sekian lama.
“Begitu juga undang-undang berkaitan perjalanan Mahkamah Syariah yang digubal dalam era 80an dan 90an, perlu disemak kembali dengan beberapa penambahan dan pindaan semula seperti undang-undang keterangan, tatacara jenayah, prosedur mal dan jenayah, undang-undang keluarga, Kanun Jenayah Syariah.
“Kita asyik berbantah, namun tidak mengetahui usul asalnya. Memberikan pandangan tanpa realiti dan fakta, ditakuti ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.’
“Mengharapkan sesuatu yang belum tentu dapat, barang yang ada dihabiskan atau dibuang, berlakulah ‘menang sorak kampung tergadai’. Jadi, berikanlah sesuatu itu kepada ahlinya untuk melaksanakannya,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sebelum ini, RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 yang bertujuan mengadakan peruntukan mengenai mufti, penentuan mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara berkaitan menerima bantahan sesetengah pihak kononnya ia mempunyai takrifan sempit.
Ia ekoran takrifan Ahli Sunnah Wal Jamaah terhadap kriteria pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan yang dari sudut akidah hanya bersumberkan aliran Al-Asy’ariyah dan Al-Maturidiah.
Mengulas lanjut, Muhamad Asri berkata, Ahli Sunnah Wal Jamaah bererti golongan yang berpegang dengan al-Quran dan al-Sunnah daripada segi akidah, hendaklah berdasarkan pegangan yang bersumberkan aliran Al-Asy’ariyah dan Al-Maturidiah.
Katanya, daripada segi Syariah pula, ia mengikut mazhab Syafie atau keadaan tertentu mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali atau melalui ijtihad hukum yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa dan Tasawuf mengikut pegangan yang dibawa Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.
Beliau menjelaskan, ia susulan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-265 pada 21 hingga 22 Februari lalu yang bersetuju dan memperkenan Pemakaian Garis Panduan Kurikulum Pendidikan Islam Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berkaitan maksud Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Persidangan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-56 pada 20 Mei 2022 bersetuju akan cadangan Garis Panduan Kurikulum Pendidikan Islam Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
“Oleh itu, penambahan tafsiran Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 adalah bersesuaian dengan kehendak semasa, inspirasi rakyat, kehendak pemimpin dan Majlis Raja-Raja,” katanya.
Beliau menyeru masyarakat untuk menghentikan polemik sebaliknya menggunakan forum atau wadah yang ada di setiap peringkat untuk berbincang dan menyampai pandangan kepada pihak yang bertanggungjawab.











