PETALING JAYA: Semua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Batalion 850-11 (MALBATT 850-11) Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) akan terus kekal di Lubnan bagi melaksanakan misi pengaman dan kemanusiaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, pasukan tersebut juga bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan.
Setakat ini katanya, semua anggota yang berada di sana dalam keadaan selamat dan melaksanakan tugasan seperti biasa.
“Alhamdulillah, walaupun situasi di sana tegang, semua pegawai dan anggota kita selamat. Mereka melaksanakan tugasan seperti biasa.
“Pasukan Malbatt 850-11 sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada setiap masa. Kita tidak akan berundur kecuali mendapat arahan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya semalam.
Sebelum ini, 12 remaja dan kanak-kanak terkorban susulan serangan roket di perkampungan Druze di Bukit Golan yang diduduki Israel.
Serangan tersebut sekaligus meningkatkan ketegangan secara mendadak dan menimbulkan kebimbangan terhadap konflik lebih besar merebak ke seluruh Asia Barat.
Sehingga kini, Perancis dan Kanada telah meminta rakyat mereka meninggalkan Lubnan ekoran ketegangan berkenaan.
Sementara itu, situasi di Lubnan makin tegang dengan media negara itu menyifatkan insiden tersebut adalah kecuaian dan kesilapan Israel sendiri atau sebenarnya adalah tindakan yang sengaja dilakukan untuk mengeksploitasi situasi politik dan ketenteraan.
Bagaimanapun, Israel berang dan memberi bayangan akan melancarkan serangan besar-besaran terhadap pejuang Hezbollah di Lubnan.
Lima sumber termasuk Diplomat Lubnan dan Iran ke Asia Barat serta beberapa diplomat Eropah, Israel dan Amerika Syarikat (AS) percaya serangan berkenaan didalangi Hezbollah walaupun pergerakan itu menafikan penglibatan mereka.
Bukit Golan adalah sebuah kawasan yang diduduki oleh Israel, terletak di sebelah utara dan bersempadan dengan Syria.










