Ketengah calon lebih awal elak ketidakharmonian dalam parti - Utusan Malaysia

Ketengah calon lebih awal elak ketidakharmonian dalam parti

MOHAMAD Hasan sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau 2024 di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Cadangan supaya setiap bahagian UMNO dapat menampilkan lebih awal individu yang boleh diketengahkan sebagai calon pada pilihan raya akan datang dilihat dapat mengelakkan ketidakharmonian di peringkat akar umbi itu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan beliau bersetuju dengan cadangan itu kerana ia memberikan peluang pengundi untuk mengenali calon itu dengan lebih awal malah memberi ruang kepada calon lebih awal menyantuni masyarakat.

“Betul supaya bahagian pilih calon awal-awal, lihat dan tonjolkan sesiapa berpotensi yang boleh kita kemuka dan ketengahkan sebagai calon, jangan last minute, sudah bubar Parlimen, bubar DUN baru terkial-kial mencari calon.

“Sekarang lagi dua tahun, bahagian secara tidak diuar-uarkan dan terbuka, dua tiga orang telah kita lihat yang mempunyai potensi kita namakan sebagai calon itu, kita minta mereka bekerja supaya mereka dapat mendedahkan diri dan dapat menyesuaikan diri dan orang kenal dia.

“Tidak sampailah masa dalam dua minggu, masa kempen baru terkial-kial untuk memperkenalkan calon, jadi bila sebut nama calon, orang sudah kenal, tahu siapa dia, itu yang sepatutnya dilakukan oleh bahagian supaya kita dapat keharmonian, kerana salah satu sebab yang saya lihat banyak tempat kita kalah kerana masalah calon tidak dapat restu bahagian,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau 2024 di sini hari ini.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mencadangkan parti itu memperkenalkan calon lebih awal bagi membolehkan mereka dikenali penduduk dan dapat bekerja lebih awal.

Sementara itu, Mohamad berkata, parti itu juga kini sedang menunggu calon yang mahu ditampilkan oleh UMNO Bahagian Gua Musang dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos nanti.

“Kita mahu tunggu dan calon tersebut mesti calon yang boleh menangkan parti kita, kita masuk pilihan raya mahu menang, bukan masuk pilihan raya untuk suka-suka.

“Jadi letakklah calon yang boleh menang, jadi terpulang kepada pihak bahagaian dan juga pihak pengurusan bahagian untuk namakan dua tiga orang supaya kita dapat buat tapisan,” kata beliau lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN