KUANTAN: Kerajaan pada dasarnya bersetuju melaksanakan kaedah Pengiraan Perubahan Harga (VOP) yang dimansuhkan pada 2022 bagi membantu kontraktor yang terkesan ekoran kenaikan harga bahan binaan susulan penyelarasan subsidi diesel.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia masih dalam proses perbincangan dengan Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
“Perbincangan sudah bermula dan Insya-Allah.. Kita baru ada perbincangan minggu lalu jadi, bagi masa sikitlah.
“Kita faham semasa kita buat penyasaran subsidi diesel, mungkin ada sedikit kenaikan dirasakan kontraktor untuk kos sedia ada.
”Bagi untuk kontrak-kontrak kerajaan, Kementerian Kewangan tengah berbincang dengan dengan Kementerian Kerja Raya dengan CIDB yang mana kita akan perhalusi penyelarasan VOP untuk dibagi kepada kontrak-kontrak yang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Transformasi G1 anjuran Persatuan Kontraktor Kelas F (PKKF) Pahang di Dewan Utama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.
Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) sebelum ini berharap VOP dapat dikembalikan semula bagi mengimbangi kenaikan kos binaan sekitar 30 peratus disebabkan rasionalisasi subsidi diesel.
Kali terakhir kerajaan menambah 11 bahan binaan dalam pelaksanaan VOP bagi membantu kontraktor yang berdepan kenaikan harga barangan itu pada 2022.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan bahan binaan dalam VOP ialah 15 antaranya simen, batu bata dan dinding, kaca, batu baur, bahan siling serta bahan bumbung.
Sementara itu, Yang Dipertua PKKF Pahang, Ahmad Faiz Zulkifly berkata, penyelarasan subsidi diesel memberi kesan kepada kenaikan harga bahan binaan sekali gus menjejaskan kontraktor khususnya G1.
“Selain kenaikan harga bahan binaan, kita juga minta kerajaan menaikkan had kerja projek G1 sehingga RM300,000,” katanya.
Had kerja projek bagi kontraktor G1 pada ketika ini adalah kurang daripada RM200,000. – UTUSAN










