PONTIAN: Kerajaan Perpaduan sedia mengambil risiko tidak ‘popular’ atas langkah-langkah yang dilakukan dalam usaha menyusun semula ekonomi negara kembali kepada landasan yang betul.
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, penyasaran subsidi diesel sebagai contoh merupakan satu tindakan yang berani dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, tindakan tersebut tidak dapat dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini walaupun banyak perbincangan telah dibuat atas pandangan dan nasihat para pakar ekonomi.
Menurutnya, penyasaran subsidi bukan bertujuan untuk membebankan rakyat, tetapi sebagai langkah bagi membendung berlakunya ketirisan selain mencegah penyeludupan bahan api tersebut.
“Walaupun langkah penyasaran subsidi diesel yang diambil bukan satu tindakan yang popular bagi Kerajaan Perpaduan tetapi sampai bila isu ketirisan dan penyeludupan akan berakhir,” katanya selepas merasmikan pusat pengumpulan hasil ladang dan benih nanas projek tanaman nanas berkelompok di Kampung Parit Jerman, di sini hari ini.
Sheikh Umar Bagharib berkata, Kerajaan Perpaduan bukan inginkan populariti sahaja, tetapi mengambil langkah-langkah untuk menyusun semula ekonomi negara bagi manfaat jangka panjang.
“Banyak perkara yang memerlukan kajian dan penyusunan semula pada hari ini, walaupun tidak disukai oleh rakyat tetapi perlu dilakukan oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN










