Kerajaan kena telus tentukan tarif elektrik

Kerajaan kena telus tentukan tarif elektrik

Kerajaan diminta lebih telus berhubung kadar surcaj Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) di dalam menentukan tarif elektrik di negara ini.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta telus dan mendedahkan kepada umum berhubung kadar surcaj Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) di dalam menentukan tarif elektrik di negara ini.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S. Piarapakaran berkata, dasar asal pelaksanaan ICPT adalah untuk menyalurkan perubahan kos bahan api bagi setiap enam bulan.

Katanya, isu ketelusan dalam pengiraan ICPT dan maklumat terperinci Tempoh Penguatkuasaan Ketiga (RP3) sering menjadi persoalan sehingga kini.

“Apabila Peraturan Berdasarkan Insentif (IBR) dan ICPT mula dilaksanakan bagi Tempoh Penguatkuasaan Pertama dan Kedua mulai 2014, banyak maklumat perlu didedahkan supaya semua pihak mengetahui situasi sebenar dan mengunjurkan kebarangkalian perubahan.

“Malangnya, bagi RP3 perkara ini tidak berlaku. Pada awal 2023, pihak kami berjumpa dengan bekas menteri bertanggungjawab untuk mengutarakan isu ketelusan dan kelompangan maklumat daripada Suruhanjaya Tenaga dan beliau berjanji akan mengarahkan ia diselesaikan.

“Tetapi, kekurangan ketelusan dan kelompangan maklumat masih berterusan sehingga kini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, kerajaan meng­umumkan bahawa tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung hingga hujung tahun ini manakala pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar yang dibiayai RM2.192 juta oleh kerajaan.

Selain itu, pengguna-pengguna komersial dan industri akan mengalami penurunan kadar surcaj ICPT sebanyak 1 sen/kWj bagi tempoh sama bagi mengekalkan kestabilan harga barangan di pasaran.

Malah kerajaan juga bersetuju menurunkan surcaj sebanyak 1 sen/kWj kepada kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tempoh sama.

Mengulas lanjut, Piarapakaran berkata, kurangnya ke­telusan dalam menentukan tarif elektrik telah menyebabkan pelbagai tohmahan sehingga mendakwa kadarnya adalah perlu rendah daripada yang ditetapkan ketika ini.

Katanya, apatah lagi ura-ura mengatakan kos bahan api arang dan gas yang digunakan untuk menjana elektrik telah turun.

“Lazimnya, kos bahan api akan meningkat pada separuh kedua (Julai hingga Disember) disebabkan peningkatan permintaan untuk menghadapi musim sejuk dan permintaan akan berkurangan pada separuh pertama seterusnya iaitu Janua­ri hingga Jun.

“Penurunan kadar surcaj ICPT sekarang adalah disebabkan kesan separuh pertama. Jika berlaku perkara luar jangka seperti perang atau kartel bahan api, situasi ini akan berubah,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN