PETALING JAYA: Kerajaan memfokuskan empat kluster utama bagi memperkasakan institusi pendidikan awal kanak-kanak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas bagi Mengawal Selia Secara Bersepadu Penubuhan dan Operasi Institusi Pendidikan Awal Kanak-kanak bilangan 1 Tahun 2024 yang dipengerusikan beliau hari ini.
Menurutnya, empat kluster pendidikan awal kanak-kanak itu melibatkan kluster pendaftaran, keselamatan, kesihatan dan kurikulum.
“Pemerkasaan pendidikan awal kanak-kanak merupakan salah satu daripada enam task force bagi memperkasakan pendidikan negara yang telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan.
“Pertemuan ini merupakan langkah awal yang penting untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap institusi pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.
“Saya berharap hasil perbincangan ini akan membawa kepada pelaksanaan yang lebih berkesan dan komprehensif dalam mengawal selia institusi pendidikan awal kanak-kanak di seluruh negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah Fadhlina, pertemuan itu turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta wakil-wakil dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Perpaduan Negara.










