CYBERJAYA: Kerajaan akan membuat keputusan muktamad bagi menyokong keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memihak kepada Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut akan meneliti cadangan dan kesan daripada keputusan mahkamah itu pada mesyuarat tersebut.
“Berikutan keputusan ICJ, Malaysia tentunya mendukung keputusan itu kerana keputusan itu berdasarkan fakta jelas tentang keganasan dan kekejaman Israel berterusan.
“Oleh itu kita akan meneliti cadangan dan kesan daripada keputusan itu dan mesyuarat jemaah menteri pada Rabu ini akan buat keputusan muktamad tentang langkah akan kita lakukan untuk bersama keputusan ICJ bagi kecam dan bertindak ke atas Israel,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di sini hari ini.
ICJ dengan majoriti yang amat besar, memutuskan bahawa pendudukan Israel yang berterusan di Wilayah Pendudukan Palestin adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa dan harus dihentikan serta-merta.
Keputusan itu disampaikan melalui Pendapat Nasihat berkaitan dengan Kesan Perundangan yang timbul daripada Dasar dan Amalan Israel di Wilayah Pendudukan Palestin, termasuk Baitul Maqdis Timur.
Semua aktiviti pendudukan baharu harus ditamatkan dan segala kemusnahan diberi pampasan.
Kementerian Luar Negeri sebelum ini memaklumkan, keputusan mahkamah ini mengesahkan hujah perundangan Malaysia yang diketengahkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, semasa Pendengaran Kenyataan Lisan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 22 Februari lalu.
Justeru, Malaysia menggesa semua negara supaya mendesak Israel menerima dan mematuhi keputusan mahkamah termasuk segera menghentikan segala sokongan kepada Israel daripada meneruskan pendudukan haram di bumi Palestin.
Wisma Putra berkata, keputusan mahkamah ini menegakkan hak mutlak rakyat Palestin dalam penentuan nasib sendiri.
Jelasnya, tindakan dan dasar-dasar Israel didapati melanggar undang-undang antarabangsa.
Mahkamah turut menekankan tanggungjawab bersama semua negara dan organisasi antarabangsa dalam menamatkan pendudukan haram Israel. – UTUSAN










