JOHOR BAHRU: Kenyataan terbuka Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mahu UMNO merampas kerusi Parlimen Sri Gading yang ketika ini dimenangi Pakatan Harapan (PH) boleh menjejaskan keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Muhammad Faezuddin Mohd. Puad berkata, ini kerana UMNO yang menunjangi Barisan Nasional (BN) kini merupakan rakan PH dalam pentadbiran kerajaan Pusat.
“Kenyataan kurang cermat seperti ini dilihat seolah-olah mempunyai agenda bertentangan dengan semangat kerjasama, ia boleh menjejaskan keharmonian dalam kalangan rakan-rakan yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Datuk (Onn Hafiz – Menteri Besar Johor) harus jadikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai contoh terbaik, sentiasa menyeru semua pimpinan dan ahli UMNO hormati kerusi yang telah dimenangi parti komponen dan bersatu hati pelihara Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Muhammad Faezuddin berkata, kerjasama antara PH dan BN telah menjadi semakin matang dan serasi setelah melalui beberapa siri pilihan raya dalam tempoh dua tahun lalu.
“Saya minta kita semua jadikan setiap PRK dan PRN sebagai medan latihan keserasian parti dalam Kerajaan Perpaduan. Bahkan Presiden UMNO turut menyeru agar membantu calon PH di semua PRK sama ada yang melibatkan kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Pendirian, kenyataan-kenyataan yang baik sebegini juga patut dicontohi PKR dan semua rakan parti komponen yang lain,” katanya.
Tegasnya, sikap saling hormat menghormati serta tidak mengeluarkan perkataan yang akan menyinggung sesama parti dalam Kerajaan Perpaduan adalah kunci penting untuk memelihara kestabilan politik di negeri dan negara ini.
Kerusi Parlimen Sri Gading kini disandang Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan. – UTUSAN










