JOHOR BAHRU: Tiga suspek kes culik seorang kanak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui, 6, tiba di Mahkamah Johor Bahru, di sini hari ini bagi permohonan reman.
Dua suspek lelaki yang berpakaian lokap dan bergari tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.45 pagi sambil diiringi anggota polis.
Seorang lagi suspek wanita yang berpakaian lokap berwarna jingga dan bergari tiba di pekarangan mahkamah kira-kira 10 minit kemudian.
Ketiga-tiga suspek berusia 28 hingga 55 tahun ditahan kira-kira pukul 1.30 petang semalam di Gelang Patah, Iskandar Puteri.
Polis menahan tiga individu berkenaan bagi membantu siasatan kes kehilangan Jia Hui di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri, Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan, walaupun suspek tersebut ditahan, kanak-kanak perempuan itu masih belum ditemukan.
Jia Hui disedari hilang daripada keluarganya kira-kira pukul 8.30 malam, Sabtu lalu semasa Festival Bon Odori Johor berlangsung di pusat beli belah itu. – UTUSAN










