JOHOR BAHRU: Empat suspek termasuk dua wanita yang ditahan berkaitan kes penculikan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui direman empat hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman terhadap kesemua mereka berusia antara 28 hingga 55 tahun itu dikeluarkan Majistret Suhaili Sapun.
Perintah tahanan reman hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan lanjut polis ke atas kesemua suspek di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
Dua suspek lelaki tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru, masing-masing berpakaian lokap berwarna oren dan ungu serta tangan bergari tiba pada pukul 8.45 pagi diiringi anggota polis.
Dua suspek wanita tiba 10 minit kemudian dengan berpakaian lokap warna oren dan dikawal rapi oleh anggota polis wanita.

Semalam, keempat-empat suspek tersebut ditahan kira-kira pukul 1.30 petang di sekitar Gelang Patah, Iskandar Puteri.
Jia Hui disedari hilang kira-kira pukul 8.30 malam, Sabtu lalu semasa berlangsungnya Festival Bon Odori di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri.
Kes kehilangannya diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah.
Difahamkan, Jia Hui ditemukan selamat di sebuah lokasi di Batang Kali, Selangor.
Penemuan itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sebentar tadi. – UTUSAN










