Kedai runcit Hock terus bertahan lebih 50 tahun - Utusan Malaysia

Kedai runcit Hock terus bertahan lebih 50 tahun

Anak Tan Cheng Hock,72, membantu mengangkat barang untuk diletakkan di atas motorsikal ayahnya di kedai runcit milik mereka di Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis, kelmarin. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kewujudan sebuah rumah kedai antik yang merupakan kedai runcit milik keluarga berbangsa Cina yang menjadi satu-satunya di perkampungan nelayan di Kampung Warna Warni Sebarang Ramai, Kuala Perlis di sini cukup menarik perhatian.

Kedai runcit milik Tan Cheng Hock, 72, yang berusia lebih 50 tahun itu terus bertahan dan menjadi pilihan penduduk di kawasan itu khususnya disebaliknya kewujudan pelbagai kedai runcit moden di sekitar Kuala Perlis.

Strukturnya di kedai berkenaan yang di tingkat bawah premis kayu itu adalah merupakan kedai runcit manakala bahagian atas pula merupakan kediaman juga dilihat masih kukuh meskipun sudah berusia puluhan tahun.

Menariknya lagi, Cheng Hock juga merupakan satu-satunya keluarga berbangsa Cina yang masih menetap di perkampungan nelayan itu.
Cheng Hock berkata, dia membeli rumah kedai itu daripada bapa saudaranya sekitar tahun 1972 dan masih meneruskan perniagaan berkenaan sehingga kini bagi memasarkan barangan runcit buat penduduk setempat.

“Pada mulanya dulu ada empat buah kedai runcit di sini namun lama kelamaan kebanyakan sudah tutup dan hanya saya yang masih bertahan sehingga hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, kelmarin.

Tambah bapa kepada tiga anak itu, suatu ketika dahulu, kawasan tersebut sememangnya meriah dan menjadi lokasi tumpuan nelayan berlabuh bagi membawa hasil tangkapan.

Menurutnya, dia juga masih mengekalkan struktur kayu papan pada rumah kedainya itu bagi mengekalkan identiti sedia ada.

“Saya masih guna kayu bagi struktur rumah kedai ini bagi mengekalkan identiti sedia ada biarpun dengan peredaran zaman ketika ini.

“Jika ada kayu atau papan rosak, saya akan membuat penukaran segera bagi menggelakkan kerosakan lebih teruk atau pun diserang anai-anai,” katanya.

Cheng Hock berkata, kedainya itu juga turut menjadi persinggahan pengunjung yang melawat ke kampung berkenaan.

Katanya, dia juga akan cuba mengekalkan ciri-ciri rumah kedainya itu dan akan diwariskan kepada anaknya yang merupakan generasi ketiga kediaman tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN