KUALA SELANGOR: Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengesahkan penyertaan beliau sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta.
Menurut bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu, permohonan berkenaan dibuat menerusi atas talian tanpa diketahui sesiapa semalam.
Beliau berkata, keputusan itu berikutan kecewa dengan nasib menimpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak berjaya mencabar Titah Adendum di mahkamah.
“Saya amat sedih dengan nasib ‘Bossku’ dan semalam pihak beliau gagal mencabar titah supaya menjalani baki hukuman penjara di rumah.
“Disebabkan rayuan itu tidak berjaya, saya memutuskan untuk menjadi ahli Bersatu dan sudah mendapat sijil keahliannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendapati semua afidavit yang difailkan untuk menyokong permohonan itu termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail disifatkan sebagai dengar cakap.
Pada Januari tahun lalu, Noh dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sah dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Mengulas lanjut, kata Noh, beliau sebelum ini beberapa kali menemui Najib di mahkamah yang berpesan supaya bersabar dan tidak memasuki mana-mana parti politik.
“Jadi, saya menghormati pandangan beliau. yang disifatkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan berhati besar. Apabila dihadapkan ke mahkamah, beliau tidak mempergunakan UMNO dan sanggup meletak jawatan sebagai Presiden parti bagi menghadapi kes beliau secara peribadi.
“Namun, keputusan (mahkamah) ini sudah diramal berlaku dan nasib menimpa beliau amat mengecewakan saya. Justeru, saya putuskan untuk sertai Bersatu,” ujarnya.
Katanya lagi, hanya Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu boleh menggantikan Barisan Nasional (BN) dan UMNO. “Saya lihat UMNO kini macam hidup mati segan tak mahu dan sudah terlalu jauh lari daripada perjuangan asal.
“Jiwa saya masih UMNO tetapi bukan UMDAP. Saya pilih Bersatu untuk terus berjuang dalam politik dan marilah kita menaiki kapal baharu PN demi agama, bangsa dan negara,” katanya. – UTUSAN











