JOHOR BAHRU: Seorang bekas juruteknik sebuah syarikat di dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 13 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM12,900 antara 2020 hingga 2022.
Walau bagaimanapun, tertuduh, Shaharuddin Sulong, 53, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa telah diberikan suapan antara RM500 hingga RM2,000 menerusi akaun bank bagi memudahkan pemeriksaan kemasukan kenderaan dan peralatan kerja bagi syarikat jentera berat di Pengerang Integrated Complex (PIC), Pengerang.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Bangunan Kedai, Pusat Bandar, di Daerah Kota Tinggi antara 12 November 2020 hingga 25 Februari 2022.
Dia didakwa di bawah Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa raya SRPM, Nur Zahida Mohd. Razi, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Iskandar Shah Ibrahim.
Pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM26,000 bagi kesemua 13 pertuduhan, namun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Ogos depan. – UTUSAN










