ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menangani isu pekerja warga asing di Pengerang, Kota Tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Exco pada 21 Mei lalu yang mempunyai lima peranan utama, antaranya membuat keputusan terhadap isu-isu berkaitan pekerja asing di Pengerang.
“Selain itu, turut membincangkan serta merangka tindakan berkaitan perkara melibatkan kuarters dan menentukan langkah penyelesaian jangka masa pendek dan panjang dalam menangani isu lambakan pekerja asing.
“Tujuan lain adalah jawatankuasa ini turut merangka tindakan penguatkuasaan terhadap majikan dalam urusan pekerja asing serta membuat keputusan dasar bagi tindakan lanjut jabatan yang terlibat dalam penyelesaian perkara berkaitan pekerja asing,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan perkara itu di Kota Iskandar, di sini.
Ting Han berkata, jawatankuasa itu dianggotai Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pegawai Daerah Kota Tinggi, Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Pentadbir Tanah Kota Tinggi, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM); Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Johor Petroleum Development Corporation (JPDC) dan Bahagian Perancang Ekonomi Johor.
“Mesyuarat pertama telah memutuskan bahawa asrama pekerja yang pernah mendapat kelulusan permit bangunan sementara daripada MPP telah dipertimbangkan untuk menjalani proses pemutihan supaya kawal selia yang lebih berkesan dapat dilaksanakan.
“Isu berkaitan lambakan pekerja asing terabai di Pengerang pada tahun lepas telah menimbulkan kegusaran dan ketidakselesaan masyarakat tempatan berikutan pengurusan kuarters yang tidak teratur, lokasi kuarters yang tidak sesuai dan tiada pelaksanaan kawalan keselamatan,” katanya.
Tinjauan terkini mendapati baki jumlah pekerja asing yang masih berada di tiga asrama pekerja di Pengerang adalah seramai 461 orang.
“Kesemua mereka mempunyai pekerjaan di kawasan itu. Lain-lain pekerja asing telah dikeluarkan dari asrama penginapan oleh majikan mereka untuk bekerja di tempat lain,” katanya sambil memberitahu pemantauan dan penguatkuasaan berkala akan terus dilakukan supaya isu lambakan pekerja asing di Pengerang tidak berulang. – UTUSAN











