JKDM tahan wanita dalang sindiket dadah bernilai RM8.7 juta - Utusan Malaysia

JKDM tahan wanita dalang sindiket dadah bernilai RM8.7 juta

RIBUAN Abdullah (tiga dari kanan) menunjukkan guni berisi bungkusan dadah yang diletakkan di bahagian kerusi penumpang sebuah MPV pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, Kampung Jijan, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang wanita yang juga pelayan pelanggan (GRO) ditahan selepas dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah jenis Methamphetamine bernilai lebih RM8.7 juta untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Ribuan Abdullah berkata, suspek wanita tempatan berusia 35 tahun itu ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ketika sedang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) di Bandar Puteri Puchong, Selangor pada 5 Julai lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menjumpai 13 guni yang di dalamnya terdapat sebanyak 268 bungkusan yang berlabel teh herba Cina.

“Pemeriksaan ke atas bungkusan tersebut mendapati di dalamnya mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat 273.7 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM8.7 juta,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.

Menurut Ribuan, siasatan awal mendapati sindiket itu terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah yang diperoleh dari negara jiran dan dibawa ke Lembah Klang melalui jalan darat dengan menyembunyikan dadah di dalam guni bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kenderaan Hyundai Starex itu dipercayai bergerak dari utara tanah air dan disewa oleh suspek oleh dengan bayaran RM1,320 untuk tempoh dua hari.

“Berdasarkan jumlah berat dadah 273,7 kg yang diperoleh, dianggarkan seramai 1.3 juta orang dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.

Jelas beliau, berdasarkan siasatan dadah itu dipercayai dijual pada harga RM32,000 sekilogram untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

“Suspek wanita tempatan berkenaan telah mendapat perintah reman selama 11 hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang daripada 12 sebatan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×