JOHOR BAHRU: Kanak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui, 6, yang dilaporkan hilang di Eco Galleria, Iskandar Puteri, Sabtu lalu ditemukan selamat dan dikurung di sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor, awal pagi semalam.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan di lokasi sama.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa dibawa lari dengan menaiki sebuah kereta ke Lembah Klang sebelum dikurung di sebuah bilik hotel bajet di Batang Kali.
“Ketika ditemukan tiada kecederaan fizikal dikesan pada mangsa, namun polis akan membawa mangsa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam sidang akbhar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini semalam.
Kumar memberitahu, setakat ini seramai lima individu ditahan, iaitu tiga lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 28 hingga 55 tahun.
“Empat suspek, iaitu dua lelaki dan dua wanita telah direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi (semalam).
“Seorang lagi suspek, iaitu lelaki berusia 31 tahun itu akan direman petang ini (semalam),” katanya.
Beliau turut memaklumkan tiada sebarang panggilan diterima keluarga mangsa untuk meminta wang tebusan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, iaitu menculik dan mengurung secara sulit dan salah serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Sementara itu, suspek terakhir yang diberkas berkaitan penculikan Jia Hui ditahan reman tujuh hari bermula semalam.
Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 31 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.
Suspek yang ditahan di sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor, pada pukul 4.45 pagi semalam tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada 3 petang dengan tangan bergari dan dikawal ketat anggota polis.
Suspek yang dibawa dari Selangor ke negeri ini dilihat memakai baju festival Bon Odori Johor yang dianjurkan di Eco Galleria, Iskandar Puteri.
Terdahulu, empat suspek berusia antara 28 hingga 55 tahun direman selama empat hari bermula semalam.
Sabtu lalu, Jia Hui didapati hilang kira-kira pukul 8.30 malam ketika festival Bon Odori berlangsung di Eco Galleria.
Mangsa yang juga anak ketiga daripada empat beradik berjaya diselamatkan polis di sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor awal pagi semalam. – UTUSAN










