SEREMBAN: Sepasang suami isteri bersama anak lelaki mereka berusia 16 tahun yang dipercayai merupakan pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditangkap di dua lokasi di Tampin dan Jempol hari ini.
Mereka ditangkap dalam operasi yang dilaksanakan serentak oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), pada pukul 6 petang tadi.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, suami isteri tersebut berusia lingkungan umur 40-an itu ditangkap dalam operasi pertama yang dijalankan di Felda Sungai Kelamah di Tampin manakala anak mereka ditahan di Felda Palong 3, Jempol dalam operasi kedua dijalankan.
Menurutnya, operasi yang dijalankan bersama polis itu turut merampas 15 barangan atau dokumen antaranya buku nota serta peranti elektronik yang digunakan bagi merekodkan ajaran sesat berkenaan.
“Ketika ditahan, kesemua mereka berada di rumah dan siasatan mendapati mereka merupakan pengikut kepada ajaran ini (Millah Abraham). Mereka pada asalnya menetap di Palong dan kemudiannya menyewa di Felda Sungai Kelamah baharu sekitar enam bulan lalu.
“Berdasarkan risikan dan maklumat awam, mereka sudah aktif menjadi pengikut kira-kira setahun dan kini bukan hanya menjadi pengikut, bahkan cuba merekrut ahli lain terdiri daripada keluarga an kenalan terdekat terlebih dahulu.
“Mereka tidak menjadikan sesebuah rumah sebagai markas mereka namun menyebarkan ajaran ini menerusi perbualan di kedai dan restoran,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasa JHEAINS, di sini, malam ini.
Ujar Ahmad Zaki lagi, pemeriksaan itu juga adalah rentetan daripada serbuan ajaran sesat Millah Abraham di Kampung Sri Repah pada tahun 2019 dan terdapat kemungkinan akan ada lagi individu yang ditahan memandangkan siasatan akan dilaksanakan secara berterusan.
Menurutnya, antara fahaman salah ajaran sesat ini adalah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli adalah tidak sah selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan ada syahadah yang berbeza.
“Mereka juga cuba menggabungkan tiga agama iaitu Yahudi, Nasrani dan Islam, selain menghuraikan ajaran al-Quran berdasarkan fahaman mereka tanpa berdasarkan kitab tafsir.
“Fatwa telah dikeluarkan pada 2019 oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan menyatakan ajaran atau fahaman tersebut bercanggah dengan hukum Islam,” katanya.
Menurutnya, kesemuanya ditahan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 dan akan dituduh dalam masa terdekat.-UTUSAN.







