BERLIN: Jerman merancang untuk mengurangkan separuh bantuan ketenteraannya kepada Ukraine tahun depan.
Keputusan itu dibuat ketika terdapat kebimbangan sokongan Amerika Syarikat (AS) untuk Kyiv berpotensi dikurangkan jika calon Republikan, Donald Trump kembali ke White House.
Menurut draf belanjawan 2025 yang dilihat Reuters, bantuan Jerman kepada Ukraine akan dipotong kepada 4 bilion euro (RM20.4 bilion) tahun depan, berbanding 8 bilion euro (RM40.8 bilion) pada 2024.
Jerman berharap Ukraine akan dapat memenuhi sebahagian besar keperluan ketenteraannya dengan pinjam AS$50 bilion (RM233 bilion) daripada hasil aset beku Russia yang diluluskan oleh Kumpulan Tujuh (G7), dan dana diperuntukkan untuk persenjataan tidak akan digunakan sepenuhnya.
“Pembiayaan Ukraine terjamin untuk masa akan datang dengan penghargaan kepada instrumen Eropah dan pinjaman G7,” kata Menteri Kewangan Jerman, Christian Lindner dalam sidang akhbar, pada Rabu.
Washington mendesak untuk memberikan jumlah pinjaman yang besar kepada Ukraine.
Pegawai berkata, sebahagian pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bersetuju dengan idea itu kerana ia mengurangkan peluang Ukraine kekurangan dana jika Trump kembali ke White House.
Loceng penggera dibunyikan di seluruh Eropah minggu ini, selepas Trump memilih Senator J.D. Vance, yang menentang bantuan ketenteraan untuk Ukraine, sebagai calon Naib Presidennya.
Jerman menghadapi kritikan kerana berulang kali gagal mencapai sasaran Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk membelanjakan dua peratus daripada pengeluaran ekonominya untuk pertahanan.
Stok angkatan bersenjata Jerman, yang merosot oleh kekurangan pelaburan selama beberapa dekad, semakin berkurangan akibat bekalan senjata ke Kyiv.
Setakat ini, Berlin menyumbangkan tiga unit pertahanan udara Patriot kepada Kyiv, lebih banyak daripada negara lain, mengurangkan bilangan aset pertahanan itu kepada sembilan.- REUTERS











