Jangan bersikap ekstrem

Jangan bersikap ekstrem

SULTAN Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Tahun 1446H / 2024M di Putrajaya, semalam. UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan rakyat negara ini supaya tidak bersikap keterlaluan atau ekstrem terutama dalam isu yang berkaitan dengan kaum dan agama. 

Baginda bertitah, masyarakat Malaysia dan umat Islam khususnya perlu memperkuatkan semangat hidup bersaudara untuk membentuk generasi masa hadapan yang bersatu padu. 

“Semua kaum ada budaya dan agama sendiri. Kita mesti hidup dengan hormat-menghormati di antara satu sama lain. 

“Sesungguhnya semua umat Islam itu adalah bersaudara. Perbezaan bangsa, budaya dan asal usul tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk kita berselisih faham, caci-mencaci dan tuduh-menuduh di antara satu sama lain. 

“Justeru, saya menggesa supaya kita menguatkan semangat hidup bersaudara untuk membentuk generasi masa hadapan negara yang bersatu padu,” titah baginda pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M di Putra jaya. 

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Baginda turut menggesa rakyat negara ini mengelakkan sebarang bentuk provokasi, fitnah dan hasad dengki yang boleh merosakkan ikatan perpaduan yang sudah lama terjalin. 

“Kita juga perlu sentiasa menjaga keharmonian ini dengan sikap saling menghormati, saling memahami dan bertolak ansur. 

“Sebagai contoh, penggunaan pembesar suara di masjid dan surau yang kadangkala menimbulkan isu kepada penduduk setempat. 

“Sebagai negara Islam, laungan azan ketika masuk waktu solat adalah wajar dibuat dengan kuat. 

“Namun, bacaan al-Quran, solat dan kuliah agama harus dibuat di dalam kawasan masjid itu sahaja,” titah baginda. 

Sultan Ibrahim turut mengingatkan umat Islam agar menyemak dan memastikan kesahihan ilmu agama yang dipelajari menerusi media sosial. 

Baginda bertitah, penyebaran maklumat tidak tepat boleh membawa kepada kekeliruan, perpecahan dan amalan agama yang menyimpang terhadap umat Islam. 

“Hari ini kita berdepan cabaran kebanjiran maklumat tanpa sempadan melalui media sosial yang sukar dikawal. 

“Orang dahulu belajar agama dengan membaca kitab dan mendengar kuliah di masjid, namun orang sekarang belajar daripada ustazah Facebook dan ustaz TikTok.

“Terdapat juga kebimbangan semakin meningkat mengenai penyebaran berkaitan agama Islam yang mengelirukan, tidak tepat, salah tafsir dan ajaran menyimpang daripada prinsip Islam sebenar,” titah baginda. 

Baginda turut menggesa tindakan penguatkuasaan dilakukan terhadap kandungan ajaran sesat dan menyediakan satu pusat rujukan agama untuk menyebarkan ilmu dan maklumat yang tepat. 

“Jangan jadikan media sosial tempat kita berbalah atau bertengkar dan jangan buka aib orang lain atau tularkan perkara yang memalukan kerana ia akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan,” titah baginda. 

Sultan Ibrahim juga bertitah bahawa agama Islam di negara ini adalah berlandaskan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

“Namun begitu, saya perhatikan telah ada banyak fahaman dan ajaran Islam yang berbeza-beza. Sudah menjadi macam rojak. Ini semua akan memecah-belahkan umat Islam. Jangan kita dibodoh-bodohkan dengan ajaran pihak yang ada kepentingan sendiri. 

“Jika keadaan ini berterusan, macam mana umat Islam hendak bersatu? Awak semua fikirlah betul-betul. Saya cuma boleh ingatkan saja, awak semua buat pilihan,” titah baginda. 

Sambutan Maal Hijrah tahun ini bertemakan Al-Falah Pemacu Malaysia Madani

Tema ini adalah manifestasi daripada intipati ajaran Rasulullah SAW serta sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki dunia dan akhirat. 

Dalam konteks ini, pembangunan ummah yang berteraskan konsep al-Falah (kejayaan) ini perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai bagi merealisasikan Gagasan Malaysia Madani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN