MELAKA: Arkib Memorial di bawah kendalian Arkib Negara Malaysia wajar dijadikan sebagai destinasi pelancongan pendidikan (edutourism) bagi mendidik anak-anak tentang sejarah negara.
Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata, enam daripadanya terdapat di Kuala Lumpur iaitu Memorial Tunku Abdul Rahman, Memorial Tun Hussein Onn, Memorial Negarawan, Memorial Tun Abdul Razak, Galeria Sri Perdana, dan Pustaka Peringatan P. Ramlee.
Ujarnya, di utara pula terdapat Rumah Merdeka dan Rumah Kelahiran Tun Dr. Mahathir Mohamad di Kedah, Rumah Kelahiran P. Ramlee di Pulau Pinang serta Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dan Memorial Tun Abdul Ghafar Baba di Melaka.
Jelasnya, pelbagai usaha sedang dijalankan pihaknya seperti melancarkan portal e-negarawan, Kembara Memorial: Anak Malaysia Merdeka dan pertandingan mural Rukun Negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.
“Kembara Memorial: Anak Malaysia Merdeka dianjurkan bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme bersempena dengan bulan kemerdekaan negara bulan depan.
“Kembara ini secara tidak langsung dapat mempromosi Arkib Memorial di seluruh negara sebagai destinasi pelancongan pendidikan kepada masyarakat termasuk pelajar sekolah,” katanya ketika ditemui selepas Pelepasan Kembara Memorial: Anak Malaysia Merdeka di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini, hari ini.
Tambah Jaafar Sidek, kembara berkenaan telah bermula sejak semalam dengan disertai 20 motosikal terdiri daripada ahli Kelab Rukun Tetangga (KRT) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta Kelab Arkib Negara Malaysia yang berkonvoi dari Memorial Tun Hussein Onn ke Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan.
“Hari kita akan sambung kembara berkenaan dengan tambahan 20 motosikal klasik daripada Persatuan Motosikal Klasik Negeri Melaka untuk melawat tiga lokasi iaitu Kampung Portugis, Kampung Perigi Hang Tuah serta Memorial Tun Abdul Ghafar Baba,” ujarnya. – UTUSAN










