PETALING JAYA: Kos operasi yang meningkat, pelaburan dalam teknologi perubatan terkini dan langkah mengekalkan standard terbaik menyebabkan hospital swasta sukar untuk menurunkan kadar rawatan yang dikenakan.
Justeru, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, tidak adil untuk menyatakan bahawa inflasi perubatan negara disebabkan oleh kos hospital semata-mata.
“Terdapat pelbagai unsur yang meningkatkan kos perubatan swasta di Malaysia. Faktor seperti kenaikan kos bekalan perubatan, peralatan dan farmaseutikal serta peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan menyumbang kepada peningkatan secara keseluruhan.
“Inflasi perubatan negara tidak hanya disebabkan oleh kos hospital swasta semata-mata,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan pemain industri perubatan swasta agar tidak menjadi pencetus kepada peningkatan inflasi berikutan kos bayaran perubatan yang terlalu mahal.
Mengakui harga ubat-ubatan yang tinggi ketika ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, satu libat urus perlu diadakan antara KKM dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) bagi memberi penerangan mengenai perkara ini.
Dalam pada itu, Kuljit mencadangkan satu usaha sama antara kerajaan, pembekal perubatan dan orang awam bagi menangani masalah ini.
“Strategi termasuk menyemak semula kawal selia rangka kerja, mencari model kewangan inovatif, tingkatkan kecekapan kos dan mempromosi ketelusan pembiayaan.
“Bagaimanapun, sebarang perubahan perlu seimbang untuk memastikan kemudahan akses penjagaan kesihatan kepada semua golongan rakyat,” katanya.
Menurut Kuljit, mencapai sistem penjagaan kesihatan berpatutan dan saksama adalah cabaran berterusan yang memerlukan pendekatan jangka panjang yang lebih komprehensif.
“Orang awam perlu proaktif menjaga kesihatan dan perlu jalankan saringan. Tiada penyelesaian yang jelas untuk kos penjagaan kesihatan kerana di seluruh dunia tidak ada penyelesaian yang berkesan,” katanya. – UTUSAN










