ISKANDAR PUTERI: Ibu kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang di pusat beli-belah Eco Galleria, di sini meminta orang ramai berhenti menyebarkan maklumat tidak tepat tentang kejadian itu.
Leo Qieo Xin, 37, bimbang tindakan sedemikian akan mengganggu usaha mengesan anaknya serta siasatan yang sedang dijalankan pihak polis.
Katanya, terdapat banyak berita palsu dan tidak tepat tentang kehilangan Albertine Leo Jia Hui, 6, yang tular dalam media sosial sejak kelmarin.
“Terlalu banyak maklumat dan dakwaan orang ramai yang nampak anak saya dalam media sosial. Ini akan mengganggu tugas polis dalam usaha mengesan anak saya.
“Jadi, saya minta semua pihak menghentikan sebaran maklumat yang tidak tepat,” katanya ketika ditemui di lokasi kanak-kanak itu dilaporkan hilang, di sini hari ini.
Terdahulu, tular dalam platform media sosial orang awam mengesan kanak-kanak itu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor Bahru bersama seorang lelaki yang didakwa sedang dalam perjalanan ke Singapura.
Wanita yang membuka gerai menjual air minuman sempena acara Bon Odori di Eco Galleria mengakui trauma dan bimbang kerana tidak mengetahui keadaan anak perempuannya itu.
Jia Hui yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik hilang daripada pandangannya dipercayai ketika Qieo Xin sedang melayan para pelanggan yang berkunjung ke gerainya.
Difahamkan, keluarga itu berasal dari Kluang dan berkunjung ke Iskandar Puteri untuk membuka gerai jualan sempena acara tersebut.
Semalam Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan memberitahu, kali terakhir kanak-kanak itu dilihat berpakaian baju T berwarna putih dengan gambar ‘Mickey Mouse’ pada bahagian dada dan berseluar pendek. – UTUSAN









