PONTIAN: Sembilan negeri bersetuju menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) untuk membeli jambatan Bailey sebagai laluan sementara dalam menanti jambatan kekal siap.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan tersebut diluluskan dalam Mesyurat Majlis Kewangan Negara (MKN m) pada Februari lalu yang melibatkan kos antara RM4 juta hingga RM6 juta sebuah.
Menurutnya, pemasangan jambatan Bailey akan dapat memudahkan perhubungan sesuatu kawasan akibat bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan tanah mendap.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) menyambut baik keputusan tersebut kerana dapat membantu menyelesaikan masalah penduduk atau rakyat yang terkesan apabila jalan perhubungan mereka terputus.
“Kami mempunyai kepakaran bagi membina jambatan Bailey, namun kos pembeliannya perlu dikongsi bersama bagi menyelesaikan masalah orang ramai,” katanya selepas merasmikan Jambatan Bailey di Kampung Permatang Sepam Darat, Benut, dekat sini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Ir. Abu Bakar Abd. Aziz dan Jurutera JKR Daerah Pontian, Ir. Saharuddin Ismail.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, jambatan sedia ada dibina oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang berusia 40 tahun mengalami kerosakan pada salah satu struktur menyebabkannya tidak selamat untuk digunakan.
Menurutnya, kerja-kerja pembinaannya yang bermula pada 9 Julai lalu dijangka siap tidak lama lagi, namun hanya boleh dilalui kenderaan tidak melebihi lima tan bagi menjamin keselamatannya.
“JPS Daerah Pontian telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan Pusat bagi membina jambatan kekal dengan kos RM1.2 juta,” katanya sambil memberitahu setakat ini sebanyak 22 buah jambatan Bailey telah dipasang di seluruh negara sebagai laluan alternatif dalam tempoh satu hingga dua tahun.
Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan (6) Mukim Benut, Mohd. Ikhsan Hashim berkata, sebelum ini, penduduk terpaksa menggunakan laluan lebih jauh, iaitu kira-kira lapan kilometer (km) untuk menghantar anak ke sekolah kebangsaan atau pergi ke masjid.
Seorang penduduk, Mohd. Johari Sarkom, 52, pula meminta JKR memasang papan tanda amaran bagi memastikan kenderaan berat tidak menggunakan jambatan Bailey tersebut.











