PETALING JAYA: Pengacara, Datuk Aznil Haji Nawawi, mencadangkan ibu bapa kembali menggunakan cara tradisional dengan mengehadkan waktu keluar rumah sebagai langkah mendidik anak.
Menurut Aznil, kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk bekerja dan tidak mengetahui lingkungan sosial anak mereka.
“Saya berpendapat kita kena kembali kepada cara mendidik anak dengan kaedah tradisional kerana itu lebih relevan. Contohnya, jika anak mahu keluar dengan lelaki, perlu ada adik-beradik yang temani.
“Ibu bapa perlu periksa baju yang dipakai anak setiap kali keluar rumah. Kemudian laksanakan perintah berkurung iaitu pulang sebelum pukul sembilan malam. Jika perlu muat naik aplikasi penjejak (tracker), lakukan.
“Kita kena kenal dengan siapa anak berkawan. Jangan lepaskan kepercayaan seratus peratus kepada anak. Inilah cara yang digunakan oleh sebuah bangsa zaman dulu. Semua risau kalau anak balik lambat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Aznil berkata demikian ketika mengulas mengenai kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak berikutan peningkatan kes remaja hilang baru-baru ini.
Dalam pada itu, Profesor Adjung Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya itu tidak menafikan terdapat segelintir ibu bapa yang memberi sejumlah wang yang banyak untuk mengambil hati anak.
“Kadangkala ibu bapa rasa bersalah. Disebabkan tidak mampu luangkan masa dengan anak, mereka beri duit dengan jumlah yang banyak untuk beli jiwa mereka.
“Duit itu yang menyebabkan anak-anak ada kemampuan pergi ke hotel, tanggung kekasih dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN











