WASHINGTON: Gangguan siber terbesar di beberapa negara hari ini menyebabkan kekacauan di pelbagai perkhidmatan utama, termasuk syarikat penerbangan antarabangsa, bank dan saluran media.
Gangguan itu disebabkan oleh kemas kini kepada perisian yang dibangunkan oleh firma keselamatan siber, CrowdStrike, menyebabkan sistem operasi Microsoft Windows menghadapi masalah tersebut.
Ia menyaksikan mesin pelayan dan juga komputer berdepan isu Blue Screen of Death (BSOD) yang memaksa penutupan komputer.
Ketua Pegawai Eksekutif CrowdStrike, George Kurtz berkata, pihaknya sudah mengaktifkan langkah penyelesaian bagi menangani gangguan IT global itu.
“Ini bukan insiden keselamatan atau serangan siber,” katanya di X.
Beliau berkata, satu pasukan disediakan untuk memastikan keselamatan dan kestabilan sistem pelanggannya terus terjaga.
Sementara itu, Microsoft berkata, ‘punca asas’ gangguan global sudah diperbaiki, tetapi kesan baki masih menjejaskan beberapa aplikasi dan perkhidmatan Office 365.
Gangguan itu mengakibatkan sistem pengangkutan di seluruh dunia antara yang paling teruk terjejas.
Di Amerika Syarikat (AS), syarikat penerbangan utama seperti Delta, United dan American Airlines terpaksa menggantung operasi disebabkan oleh isu komunikasi, menurut kemas kini Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).
Gangguan operasi perkhidmatan penerbangan turut berlaku di Lapangan Terbang Sydney dan Lapangan Terbang Melbourne, Australia.
Selain itu, lapangan terbang di United Kingdom (UK), Jerman, India, Malaysia dan Filipina juga melaporkan gangguan kepada perkhidmatannya.
Syarikat penerbangan Perancis, Air France berkata, operasinya terjejas, tetapi penerbangan yang sudah berlepas tidak terkesan gangguan.
Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong turut memaklumkan, syarikat penerbangan yang terkesan akibat gangguan itu beralih kepada daftar masuk manual dan operasi penerbangan tidak terjejas.- REUTERS










