Filipina, Jepun meterai perjanjian pertahanan menentang China

Filipina, Jepun meterai perjanjian pertahanan menentang China

MENTERI Luar Jepun, Yoko Kamikawa (kiri) dan Menteri Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro berjabat tangan selepas menandatangani Perjanjian Akses Timbal Balik (RAA), di Manila.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Filipina dan Jepun hari ini memeterai satu perjanjian kerjasama pertahanan yang membenarkan kedua-dua negara mengadakan latihan ketenteraan bersama di wilayah masing-masing buat kali pertama.

Langkah itu dilihat dapat meningkatkan kerjasama mereka untuk menentang tindakan Beijing yang lebih agresif di Laut China Timur dan Laut China Selatan.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr menyaksikan pemeteraian Perjanjian Akses Timbal Balik (RAA) yang ditandangani Menteri Pertahanan, Gilberto Teodoro dan Menteri Luar Jepun, Yoko Kamikawa di Manila, selepas pertemuan yang turut disertai Menteri Pertahanan Jepun, Minoru Kihara.

Kihara berkata, RAA mewakili ‘hubungan kerjasama’ antara Jepun dan Filipina serta menguatkan keberkesanan kerjasama pertahanan kedua-dua pihak.

RAA menggariskan panduan mengenai penempatan askar dan pengendalian latihan ketenteraan bersama di setiap wilayah kedua-dua negara.

Ia adalah peringkat akses ketenteraan yang sama kepada Filipina seperti dinikmati oleh Amerika Syarikat (AS) melalui Perjanjian Tentera Pelawat (VFA) dengan Manila.

Ini juga menjadikan Filipina negara ketiga yang memeterai RAA dengan Tokyo, selepas Australia dan Britain.

Sebelum RAA, penglibatan dua hala antara Manila dan Tokyo terhad kepada operasi bantuan kemanusiaan dan bencana serta pertukaran pakar.

Bagaimanapun, perjanjian pertahanan ini hanya akan dimuktamadkan setelah RAA diluluskan oleh Senat Filipina dan Diet Kebangsaan Jepun.

Perbincangan mengenai kerjasama dalam perjanjian pertahanan pertama kali bermula apabila Marcos melawat Jepun pada Februari tahun lalu.

Sembilan bulan kemudian, rundingan rasmi mengenai RAA diteruskan apabila Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida melawat Manila.- THE STRAITS TIMES

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×