TEMERLOH: Kegemilangan Felda sebagai peneraju sektor pertanian yang diiktiraf dunia tidak lengkap kerana setelah berusia 68 tahun belum mempunyai universiti sendiri.
Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, Felda begitu gah menyambut hari peneroka setiap tahun tetapi ketinggalan dalam merealisasikan universiti milik agensi itu demi pendidikan tinggi generasi tanah rancangan tersebut.
“AMBFM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak dahulu lagi sudah mencadangkan penubuhan Universiti Felda tetapi saranan tersebut bagaikan angin lalu sehinggalah usia Felda sudah 68 tahun ketika ini.
“Dalam hal ini, kita memuji daya fikir kepimpinan Risda secara profesional dan berjaya menubuhkan Universiti Risda meninggalkan Felda jauh ke belakang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Abdullah berkata, Felda mempunyai banyak kolej milik agensi itu yang boleh dinaik taraf dan memfokuskan kepada sektor pertanian serta perladangan.
Tegasnya, sampai masanya sebuah Universiti Felda ditubuhkan tanpa bertangguh lagi sebagai medium pendidikan tinggi yang menjadi kebanggaan warganya.
“Setelah 68 tahun penubuhan Felda sejak 1956, Felda ketinggalan mewujudkan sebuah universiti sendiri walaupun mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan kepakaran yang terdiri generasi baharu Felda sendiri,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, sebuah universiti sendiri diperlukan sempena kematangan usia Felda yang menginjak 68 tahun.
“Cadangan dan saranan supaya ditubuhkan Universiti Felda sudah lama disuarakan cendikiawan anak peneroka dan NGO tetapi hanya ‘cakap-cakap’ sahaja tanpa realiti.
“Difahamkan kerajaan Pahang pernah menawarkan tanah untuk pembinaan Universiti Felda beberapa tahun lalu tetapi senyap begitu sahaja. Ini merugikan generasi baharu Felda mendapat akses pendidikan dari ‘ibu kandungnya sendiri’,” katanya.
Beliau berharap Felda di bawah pimpinan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mempunyai hubungan baik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat merealisasikan impian jutaan warga Felda di seluruh negara.
“Felda mempunyai banyak kelebihan menubuhkan universiti sendiri kerana ribuan generasi peneroka memiliki kelayakan akademik tinggi dalam pelbagai bidang.
“Jangan sia-sia aset dan peluang yang ada kerana warga Felda terutama generasi pertama tidak sabar untuk menyaksikan sebuah universiti yang mendidik pewaris dalam pelbagai kepakaran” katanya. – UTUSAN










