KUALA LUMPUR: Enam bekas ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan pihaknya telah menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai keputusan tersebut lewat petang semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, susulan itu, Bersatu akan mengambil langkah susulan termasuk melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan parti.
“Bersatu akan mengambil langkah susulan selepas menerima surat daripada Johari yang menyatakan, tidak berlaku kekosongan melibatkan enam kerusi bekas ahli Parlimen Bersatu di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan Speaker amat mengecewakan kerana jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan,” kata Muhyiddin pada sidang media di Pusat Media Parlimen semalam.
Enam ahli Parlimen tersebut ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
POLEMIK
Tindakan keenam-enam ahli Parlimen itu telah mencetuskan polemik berpanjangan selepas mereka menyatakan sokongan kepada Anwar.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, alasan dalam keputusan diberikan Johari dangkal selain memberi tafsiran songsang yang secara tidak langsung Speaker telah mencemar Perlembagaan Persekutuan.
Kata beliau, ini merujuk Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa kerusi setiap ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika seseorang wakil rakyat itu tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik.
“Di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, sebarang pentafsiran Perlembagaan parti politik oleh parti tersebut adalah muktamad dan konklusif.
“Jelas bahawa enam Ahli Dewan Rakyat tersebut tidak lagi menjadi ahli Bersatu berikutan dengan peruntukan Perlembagaan Bersatu.
“Bersatu memutuskan enam ahli Dewan Rakyat berkenaan adalah telah terhenti keahliannya. Penafsiran Bersatu terhadap perkara ini adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayu, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoal,” katanya.
Sementara itu, merujuk kepada Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman, Muhyiddin berkata, Johari memberi alasan remeh apabila Speaker enggan mengisytiharkan kekosongan kerusi tersebut setelah Suhaili dikatakan memulakan tindakan mahkamah yang menyalahi peruntukan Perlembagaan Bersatu.
Bagaimanapun, Muhyiddin tidak menjelaskan secara terperinci alasan-alasan yang diberikan Johari selepas mengumumkan tiada kekosongan kerusi enam ahli Parlimen berkenaan.
“Saya menyeru Speaker menegakkan tujuan dan hasrat sebenar peruntukan 49A Perlembagaan Malaysia yang bertujuan mengekang perbuatan khianat ahli Dewan Rakyat yang menodai mandat rakyat semasa pilihan raya,” katanya.- UTUSAN










