Enam ahli Parlimen mahu PN terima keputusan Speaker

Enam ahli Parlimen mahu PN terima keputusan Speaker

SUHAILI Abdul Rahman (tengah) bersama empat bekas ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri dalam sidang akhbar di Pusat Media Parlimen, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong kerajaan, merayu pemimpin tertinggi pembangkang terutama Perikatan Nasional (PN) berhenti bermain politik.

Rayuan itu disuarakan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman selepas PN dalam sidang akhbar semalam meneruskan usaha melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan bagi mene­gakkan Perlembagaan Perseku­tuan dan perlembagaan parti akibat peralihan sokongan mereka.

Ia susulan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang memutuskan tidak berlaku kekosongan kerusi Parlimen enam bekas ahli parti itu termasuk Suhaili.

Suhaili menegaskan, keenam-enam mereka berpegang teguh dan yakin tidak melanggar peraturan di bawah Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, mereka akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas selepas Johari memutuskan kerusi mereka tidak perlu dikosongkan.

“Kami merayu kepada semua pemimpin tertinggi terutama PN supaya berhenti dan sudah-sudahlah bermain politik.

“Marilah bersama-sama berganding bahu menstabilkan politik di Malaysia dan pulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan kesan ekonomi global.

“Kami hanya menyokong Kerajaan Perpaduan demi kepen­tingan rakyat yang mengundi kami di kawasan Parlimen ma­sing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Parlimen, semalam.

Selain Suhaili, empat lagi ahli Parlimen hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tidak hadir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN