KAMPAR: Bandar Gopeng bukan sahaja terkenal dengan lemang kelamai tetapi sejenis durian jenis kampung digelar ‘peti’ atau paty dalam dialek masyarakat Rawa (Rao’) sejak berpuluh tahun lalu.
Keunikan durian peti ini adalah isinya yang kuning pekat, berlemak, manis dan sedikit pahit setanding Musang King.
Zulkifli Sulaiman, 62, yang sudah lebih 40 tahun menjual pelbagai jenis durian mengakui peti ada peminat tersendiri kerana keunikan rasanya.
“Sebenarnya orang Gopeng sahaja yang tahu keenakan durian peti ini, namun hasilnya pada musim kali ini kira-kira 1,000 biji sahaja kerana banyak putik durian yang gugur kerana hujan lebat sebelum ini.
“Durian ini terhad dan perlu ditempah terlebih dahulu oleh pelanggan sebelum dapat membeli dan merasainya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Katanya lagi, kebanyakan pembeli berpuas hati kerana keenakan durian peti.
Difahamkan, peti ditanam di kawasan berbukit berdekatan dengan sungai selain redup yang membuatkan ia mampu menghasilkan buah seakan-akan durian premium.
Harga sekilogram (kg) durian peti ialah RM20 sementara Musang King bagi berat sama dijual Zulkifli bermula RM25 bergantung pada jenis, kualiti dan kuantiti.
Dalam pada itu, seorang penduduk Kampung Pintu Padang, Rathiah Dani, 76, berkata, durian kampung itu digelar sedemikian kerana sebaik sahaja gugur akan disimpan di dalam peti.
“Menurut cerita orang dulu-dulu, penduduk kampung akan simpan dan makan sendiri buah durian ini untuk makanan sekeluarga,” ujarnya. – UTUSAN











