Durian Kampung Gajah wangi, digemari ramai

Durian Kampung Gajah lebih wangi, enak

ISMAIL Ibrahim menunjukkan buah durian yang dikutip di dusunnya di Kampung Gajah, Pasir Salak, semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Durian Kampung Gajah di sini bukan sahaja tidak kalah dari segi keenakannya malah menjadi pilihan penggemar raja buah itu kerana baunya lebih wangi berbanding durian jenis lain.

Seorang pemilik dusun durian di sini, Ismail Ibrahim, 65, berkata, itu antara keistimewa­an buah durian Kampung Gajah selain mempunyai bau yang le­bih kuat dan keenakannya sudah diakui ramai.

Katanya, rata-rata durian di Kampung Gajah adalah durian kampung seperti durian kunyit, durian tupai, durian gantang dan ada pokok yang berusia hampir 100 tahun.

“Kampung Gajah sememang­nya dikenali sebagai antara ka­wasan penanaman durian kam­pung yang dikenali ramai. Setiap kali musim durian, kawasan ini didatangi penggemar raja buah itu yang mahu merasai keenakan durian kampung.

“Keistimewaan durian Kampung Gajah ialah baunya lebih wangi jika nak dibandingkan durian di kawasan lain, mungkin disebabkan tanah di sini se­suai untuk tanaman durian.

“Malah ada yang kata duri­an bukit tidak sewangi durian Kampung Gajah yang ditanam di tanah pamah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kebunnya, di sini semalam.

Ismail bersyukur kerana mu­sim durian kali ini memberi pendapatan yang lebih kepada­nya apabila mampu mengutip sehing­ga 200 kilogram durian sehari.

Menurutnya, setiap pagi dia mengutip kira-kira tujuh bakul durian manakala sebelah petang pula sekitar empat bakul, yang kebanyakannya dijual kepada peraih sekitar RM6 sekilo.

“Pada musim durian kali ini, Kampung Gajah menjadi tumpu­an penggemar raja buah ini datang ke Kampung Gajah antaranya dari Selangor, Ipoh dan paling jauh dari Kedah,” katanya yang mewarisi dusun durian seluas hampir empat ekar daripada arwah neneknya.

“Di sini terdapat kira-kira 60 pokok durian kampung dan tahun ini pokok berbuah lebat.

“Pelanggan yang datang ke dusun ini bukan sahaja dapat makan buah segar, juga dapat merasai pengalaman me­ngutip durian yang luruh di dusun ini.

“Pengalaman sebegini bukan selalu dapat dirasai dan kami sebagai pemilik dusun gembira kerana dapat merasai suasana musim durian seperti sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×