GUA MUSANG: Dua batang pokok durian hutan di Kampung Batu Papan 2 di sini yang didakwa berusia 200 tahun bukan sahaja subur malah berbuah dengan lebat.
Pemiliknya, Tina Chong, 45, berkata, mengikut cerita ibunya, pokok durian berketinggian lebih 50 meter itu warisan keluarga sejak tiga generasi.
Menurutnya, pokok tersebut ditanam oleh datuknya yang mendiami kawasan itu.
“Pokok durian itu hanya tinggal dua pokok manakala yang lain ditanam pokok buah-buahan dan getah oleh keluarga terdahulu.
“Pokok durian ini sangat tinggi dan setiap tahun kami hanya menunggu durian luruh,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tina berkata, durian hutan itu mampu mengeluarkan hasil kira-kira 200 biji pada setiap musim.
Katanya, dia juga tidak dapat mengenal pasti jenis durian hutan itu dan berharap ada pihak yang lebih pakar dapat mengkajinya.
“Saya dapati pokok durian itu berbunga agak banyak pada tahun ini. Buah mungkin luruh pada Ogos atau September depan.
“Durian ini hanya untuk dimakan oleh ahli keluarga. Kami tidak berhasrat untuk menjualnya dan keluarga sayajuga sudah memiliki kebun buah durian Musang King,” ujarnya. – UTUSAN










