SEGAMAT: Dua pemilik kereta Perodua Myvi menjadi tular apabila salah seorang dilihat bertindak agresif di lampu isyarat persimpangan Segamat-Muadzam, Buloh Kasap, di sini semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, pihaknya mengesan satu rakaman video pada pukul 3.40 petang berdurasi 25 saat yang tular dalam media sosial Facebook.
“Video tersebut memaparkan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an dari sebuah kenderaan Perodua Myvi berwarna hijau telah menyerang dan mengetuk dengan tangan sebuah Perodua Myvi berwarna putih.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-dua pihak, apabila seorang wanita berusia dalam lingkungan 50-an dengan tidak sengaja melanggar kenderaan suspek.
“Namun, tiada sebarang kerosakan akibat kemalangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau turut mengesahkan pihaknya telah menerima laporan daripada kedua-dua pihak, namun mereka telah berbincang secara baik dan tidak mahu mengambil sebarang tindakan undang-undang.
Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan dan tidak mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang. – UTUSAN











