Dua lelaki seludup syabu RM4 juta dari negara jiran diberkas - Utusan Malaysia

Dua lelaki seludup syabu RM4 juta dari negara jiran diberkas

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Tindakan dua lelaki cuba menyeludup masuk syabu dianggarkan bernilai RM4 juta dari negara jiran di Desa Petaling, di sini gagal selepas mereka diberkas polis semalam.

Penahanan kedua-dua suspek dilakukan pada pukul 2.40 petang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Khaw Kok Chin berkata, pada mulanya, seorang lelaki ditahan ketika menaiki sebuah kereta Proton Preve.

Kata beliau, hasil pemeriksaan 120 bungkusan plastik mengandungi bahan kristal disyaki syabu seberat 126.18 kilogram (kg) ditemukan.

“Dalam serbuan ini, kami menahan dua lelaki masing-masing berusia 37 dan 43 tahun yang dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai aktif menyeludup masuk bekalan dadah dari negara jiran sejak pertengahan tahun lalu.

“Modus operandi sindiket ini adalah menyeludup masuk bekalan dadah dari negara jiran menggunakan jalan darat sebelum diedar bagi pasaran tempatan di Lembah Klang.

“Hasil ujian saringan awal dilakukan terhadap kedua-dua suspek didapati negatif dadah,”jelasnya.

Kok Chin memberitahu, semakan dilakukan mendapati salah seorang suspek mempunyai tiga rekod berkaitan dadah.

Menurut beliau, dua kenderaan masing-masing sebuah kereta Mercedes Benz dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dianggarkan bernilai RM97,700 dirampas.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 17 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,”ujarnya.

Beliau menambah, hasil rampasan dadah daripada kedua-dua suspek dipercayai boleh diguna 630,910 penagih.

“JSJN akan meneruskan siasatan bagi mengesan rangkaian sindiket berkenaan yang masih bebas.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti pengedaran dadah boleh menghubungi Hotline JSJN di talian 012-2087222,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×