TANJUNG MALIM: Seorang jurutera kimpalan bersyukur pokok tin yang ditanam sebagai hobi kini menjadi pendapatan tambahan kepadanya.
Shahrul Hafizi Ramle, 28, mula menanam pokok tin pada 2021 di satu kawasan dinamakan Muallim Hortigard di Slim River dekat sini.
Katanya, tanpa disangka-sangka buah tin mendapat permintaan tinggi kerana ia baik untuk kesihatan.
“Pada awalnya saya menanam pokok tin sekadar hobi mengikut kaedah pertanian yang ditetapkan bagi memastikan pembesaran pokoknya tidak terganggu.
“Namun, sudah masak, ramai berminat membelinya. Buah tin berharga RM80 sekilogram dan setakat ini saya menghasilkan antara lima hingga lapan kilogram sehari.
“Begitupun saya tidak menjualnya secara terbuka, hanya jual kepada mereka yang datang ke kebun ini,” katanya.
Menurutnya, setakat ini dia menanam 132 pokok tin dan sudah pun mengeluarkan hasil.
Jelasnya, pokok tin mengeluarkan hasil dengan cepat dalam tempoh empat bulan, berbanding anggur yang berbuah selepas enam bulan.
“Buah tin digemari bukan sahaja kerana rasanya tetapi dikatakan mempunyai banyak khasiat untuk merawat pelbagai jenis penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan buasir,” katanya.
Shahrul Hafizi memberitahu, berdasarkan permintaan yang semakin meningkat, dia berhasrat menambah keluasan tanah untuk tanaman pokok tin.
“Saya setuju dengan saranan kerajaan negeri agar tanah kosong dimanfaatkan untuk dijadikan projek pertanian.
“Jika dibenarkan, saya mahu menambah keluasan tanaman pokok tin,” katanya. – UTUSAN











