JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) diarahkan untuk mengambil langkah mitigasi sekiranya cuaca panas dan kering berlarutan sehingga menjejaskan kapasiti bekalan air di empangan.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, antara inisiatif yang boleh diambil termasuk pengoperasian bekalan air disusun semula supaya agihan air dapat dibekalkan ke kawasan terjejas serta operasi pembenihan awan (OPA).
Walau bagaimanapun, OPA tertakluk situasi dan perbincangan dengan kementerian yang lain.
“SPAN akan memantau keadaan air ini dari semasa ke semasa, bila berlaku jangkaan dari segi musim kemarau dan sebagainya, pihak SPAN akan berurusan dengan pihak operator air bagi memastikan pengurusan air itu lebih efisien dan beberapa langkah mitigasi perlu diambil,” katanya ditemui selepas meninjau projek pembinaan Pasar Kampung Melayu Majidee, di sini hari ini.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan akan melaksanakan OPA di Kedah dan Perak selama tiga hari berturut-turut bermula esok bagi meningkatkan paras air di Empangan Bukit Merah, Perak dan Empangan Muda, Kedah untuk tujuan pertanian dan kegunaan air domestik.
Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, syarikat operator air telah mengambil beberapa langkah mitigasi, antaranya mengingatkan orang ramai tentang penggunaan air dengan lebih cekap dalam tempoh beberapa minggu ini.
“Dalam keadaan kita menghadapi pemanasan global dan sebagainya, ini adalah kesan yang memang semakin mencabar bagi sektor air, terutamanya apabila keadaan itu bertambah ekstrem dan berpandangan.
“SPAN akan sentiasa berhubung dengan pihak operator air untuk melihat langkah-langkah mitigasi dan terbuka untuk berbincang dengan pihak yang berkaitan bagi mengatasi isu ini,” katanya. – UTUSAN











