Cuaca panas bakal cetus krisis kesihatan

Cuaca panas bakal cetus krisis kesihatan

TASIK Gubir yang menempatkan Empangan Muda adalah antara kawasan takungan air utama di negara ini yang mengalami penyusutan air yang drastik akibat cuaca panas dan ketiadaan hujan sejak lebih sebulan lalu. UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia diramal mengalami peningkatan suhu panas sepanjang tahun ini dan pada tahun-tahun akan datang sekiranya punca yang menyebabkan keadaan itu tidak ditangani segera.

Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), negara bakal berdepan cuaca lebih panas dan kering hingga pertengahan September ini.

Lebih membimbangkan, cuaca panas itu boleh menyebabkan negara dilanda dengan krisis kesihatan sehingga membawa kematian.

Ini kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sekitar 12.6 juta kematian atau 23 peratus daripada semua kematian global boleh dikaitkan dengan faktor risiko persekitaran seperti

Ini kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sekitar 12.6 juta kematian atau 23 peratus daripada semua kematian global boleh dikaitkan dengan faktor risiko persekitaran seperti pemanasan global, pencemaran udara, sanitasi yang buruk, perubahan iklim, racun perosak dan penyakit bawaan vektor.

Kematian tersebut termasuk kesan langsung dan tidak langsung kesan pemanasan global yang mempengaruhi kesihatan manusia melalui pelbagai cara termasuk peningkatan suhu,
kualiti udara yang buruk, dan perubahan dalam corak penyakit.

Lebih memburukkan apabila WHO menganggarkan daripada jumlah tersebut, 7.3 juta atau 58 peratus kematian itu berlaku di Asia Tenggara dan wilayah Pasifik Barat.

Pakar Kesihatan Persekitaran di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Juliana Jalaludin berkata, keadaan tersebut berlaku disebabkan salah laku manusia sendiri.

Menurut beliau, para saintis iklim sudah menunjukkan bahawa manusia bertanggungjawab terhadap hampir semua pemanasan global sejak 200 tahun lalu.

Jelasnya, aktiviti dilakukan manusia menyebabkan gas rumah hijau memanaskan dunia lebih cepat pada bila-bila masa dalam sekurang-kurangnya 2,000 tahun lalu.

“Berdasarkan Laporan Keadaan Iklim Asia 2023 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pada Mei lalu ada menyebut Asia memanas dengan lebih pantas berbanding purata peningkatan suhu secara global.

“Trend peningkatan di Asia sejak 1991 hingga 2023 hampir mencecah dua kali ganda berbanding trend peningkatan antara 1961 dan 1990 dan ia jauh lebih besar dibandingkan 30 tahun sebelumnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, suhu di Malaysia ketika ini direkodkan semakin panas dengan peningkatan sebanyak 1.35 darjah Celcius dalam tempoh 50 tahun.

Berdasarkan laporan Fourth National Communication (NC4) pada 2 Mei lalu, berlaku pening katan suhu maksimum sebanyak 0.24 darjah Celsius setiap dekad manakala suhu minimum permukaan bagi Semenanjung mencatatkan pertambahan 0.27 darjah Celsius sejak 50 tahun lepas.

Perbandingan ini membuktikan suhu minimum meningkat pada kadar lebih cepat berbanding suhu maksimum, sekali gus menjadikan malam lebih panas dengan cepat berbanding siang.

Mengulas lanjut, Juliana berkata, kesan kesihatan persekitaran tidak lagi boleh dianggap sebagai kebimbangan kecil kerana tanpa perubahan paradigma akan menyebabkan kesihatan manusia terjejas dengan teruk selain mengancam kelestarian planet.

“Negara perlu mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan kesan ini seperti meningkatkan kawasan hijau, mempromosikan pengangkutan awam dan menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui agar dapat membantu mengurangkan suhu yang semakin meningkat di Malaysia.

“Melalui langkah-langkah persediaan dan mitigasi, Malaysia perlu terus melaksanakan strategi untuk mengurangkan emisi pencemar udara dan gas rumah hijau, meningkatkan kecekapan tenaga dan melaksanakan amalan pengurusan tanah yang lestari,” katanya.

Tambahnya, perubahan iklim menimbulkan cabaran kesihatan, ekonomi dan sosial yang ketara kepada populasi di negara ini maka memerlukan strategi menyeluruh.

“Ini merangkumi pengukuhan sistem penjagaan kesihatan, meningkatkan kesiapsiagaan bencana dan membina rangkaian sokongan komuniti yang berdaya tahan.

“Dengan memberi tumpuan kepada kerentanan unik golongan sensitif seperti bayi, kanak-kanak, warga emas dan golongan berisiko tinggi dengan komorbiditi.

“Negara amat perlu meningkatkan ketahanan dan kesejahteraan populasi dalam menghadapi perubahan iklim,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN