BEIJING: China menghentikan rundingan awal berhubung kawalan senjata nuklear dengan Amerika Syarikat (AS), sebagai protes terhadap penjualan senjata Washington kepada Taiwan.
Jurucakap Kementerian Luar Negara, Lin Jian berkata, penjualan senjata AS yang berulang ke Taiwan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menjejaskan suasana politik untuk meneruskan rundingan.
“Oleh itu, pihak China memutuskan untuk menangguh perbincangan dengan AS dalami pusingan baharu rundingan mengenai kawalan senjata dan mencegah penyebaran.
“Tanggungjawab sepenuhnya terletak pada AS,” kata Lin dalam sidang akhbar di Beijing, pada Rabu.
Beliau berkata, Beijing bersedia untuk mengekalkan komunikasi mengenai kawalan senjata antarabangsa, tetapi AS mesti menghormati kepentingan teras China dan mewujudkan syarat diperlukan untuk dialog serta pertukaran.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller berkata, China memilih untuk mengikut telunjuk Russia dengan menegaskan keterlibatan dalam kawalan senjata tidak boleh dilakukan selagi terdapat cabaran lain dalam hubungan dua hala.
“Kami berpendapat pendekatan ini merosakkan kestabilan strategik, ia meningkatkan risiko dinamik perlumbaan senjata.
“Malangnya, China memilih untuk tidak meneruskan usaha yang akan mengurus risiko strategik dan menghalang perlumbaan senjata yang mahal, tetapi kami AS akan tetap terbuka untuk membangun dan melaksanakan langkah-langkah konkrit untuk menguruskan risiko dengan China,” kata Miller.
Pegawai AS dan China menyambung semula perbincangan senjata nuklear pada November, tetapi rundingan rasmi mengenai kawalan senjata dijangka tidak berlaku dalam masa terdekat, walaupun AS bimbang terhadap peningkatan pesat senjata nuklear China.
AS menganggarkan China mempunyai 500 kepala peledak nuklear yang beroperasi dan kemungkinan akan memiliki lebih daripada 1,000 menjelang 2030.
AS mempunyai simpanan kira-kira 3,700 kepala peledak nuklear, dengan 1,419 daripadanya sudah digunakan.- REUTERS










