MARAN: Barisan Nasional (BN) akan bertanding menggunakan lambang parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang, kata pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan itu bukan bererti BN lari daripada kesepakatan kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) pada ketika ini.
“Insya Allah, pilihan raya umum (PRU) akan datang, kita akan gunakan lambang BN. Ini bukan bererti kita lari daripada kesepakatan kerajaan Perpaduan. Maksudnya, PH boleh tanding guna lambang PH dan kita tanding dengan lambang kita tapi daripada segi kerjasama kita jalinkan.
“Asalkan kawasan yang kita bertanding itu, tidak ditandingi oleh mereka (PH) dan kita tidak bertanding di kawasan yang mereka tanding itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Maran di sini semalam.
Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, sejak BN berada dalam kerajaan Perpaduan bersama PH, belum ada lagi agenda Islam yang diketepikan oleh parti tersebut.
“Saya yang bertanggungjawab nakhodai UMNO (dan) saya akan pastikan parti komponen dalam kerajaan Perpaduan ini mengikuti semua perkara yang termaktub dalam Perlembagaan, menjaga soal Islam, soal melayu, tidak ada lebih dan tidak ada kurang, noktah. Itulah keyakinan diri kita,” katanya.
Sementara itu, mengulas tentang status Parti Progresif Penduduk (MyPPP), beliau berkata, parti itu masih parti gabungan dalam Friends of BN.
“Parti komponen empat saja, UMNO MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sebab perlembagaan BN memaktubkan keputusan untuk menerima mana-mana parti mesti konsensus, 100 peratus… jika ada parti tidak bersetuju, maka kita tidak akan menerima,” katanya.
Sebelum ini, MyPPP membuat keputusan tidak turun berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap meskipun sebelum ini turun membantu BN dalam PRK Kuala Kubu Baharu di Selangor.
Pemangku Presiden MyPPP Datuk Loga Bala Mohan dilaporkan sebagai berkata, keputusan itu dibuat demi maruah parti selepas pihaknya berasa diketepikan selepas bertungkus lumus membantu BN dalam PRK Kuala Kubu Baharu di Selangor.










