Bersatu Kelantan muktamad calon PRK Nenggiri minggu depan

Bersatu Kelantan muktamad calon PRK Nenggiri minggu depan

KAMARUDIN Md. Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan akan memuktamadkan nama calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri minggu depan.

Pengerusinya Datuk Kamarudin Mohd. Nor berkata, perkara itu akan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.

Menurutnya, setakat ini Bersatu Kelantan sudah menghantar lebih tiga nama untuk ditapis dan dipilih sebagai calon pada PRK 17 Ogos nanti.

“Senarai (nama) yang kita (Bersatu Kelantan) hantar itu adalah orang tempatan yang berasal dari Gua Musang.

“Kesemua (nama) mereka ini mempunyai kelayakan untuk menjadi calon,” katanya

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas itu turut menafikan parti tersebut ketandusan calon sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Katanya, Bersatu mempunyai ramai yang boleh ditampilkan sebagai calon.

Pada 13 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Ia selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Bersatu mengenai pengguguran keahlian bekas ADUN Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim daripada Bersatu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN