TOKYO: Tentera Laut Jepun menemukan bangkai dua helikopter yang terhempas lebih tiga bulan lalu di dasar laut, yang mengorbankan lapan anak kapal.
Nahas berlaku ketika helikopter SH-60K, masing-masing dikendalikan oleh empat kru, sedang menjalani latihan pengesanan kapal selam di luar Kepulauan Izu di Lautan Pasifik pada April.
Setakat ini, hanya satu mayat yang ditemukan manakala tujuh lagi diisytiharkan meninggal dunia pada Jun oleh Pasukan Pertahanan Maritim, selepas operasi pencarian tidak membuahkan hasil.
Satu penyiasatan dasar laut oleh institusi penyelidikan kebangsaan yang bermula bulan ini, membawa kepada penemuan kedua-dua pesawat di dasar laut berhampiran lokasi kemalangan, menurut kenyataan tentera laut pada Isnin.
“Penyiasatan dasar laut sedang diteruskan, dan kami menilai sama ada bangkai pesawat itu boleh ditarik,” katanya.
Walaupun menyedari jarak dekat antara satu sama lain, kedua-dua helikopter tidak cuba untuk mengelak sehingga menyebabkan kepada pelanggaran, menunjukkan kemungkinan elemen kecuaian dalam amalan pengawasan standard.
Perkara itu dinyatakan dalam laporan Kementerian Pertahanan dikeluarkan awal bulan ini, yang juga menyimpulkan kawalan ketinggian pesawat terbabit ‘tidak mencukupi’.
Pada April 2023, sebuah helikopter UH-60JA tentera Jepun yang membawa 10 orang terhempas di luar pulau Miyako di selatan Okinawa.
Tiada mangsa yang selamat dalam insiden tersebut.- AFP











