Bandar Pontian perlu bersih sebagai pintu masuk pelancong - Utusan Malaysia

Bandar Pontian perlu bersih sebagai pintu masuk pelancong

HASRUNIZAH Hassan (tengah) memotong kek sambutan ulang tahun Kelab Kitar Semula SJKC Chih Chih sempena Karnival Lestari Sekolahku Peringkat Negeri Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Sebagai pintu masuk ke Tanah di Penghujung Benua Asia, bandar Pontian perlu sentiasa bersih bagi menyambut kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2026.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan berkata, perkara tersebut sejajar dengan  inisiatif Johor Bersih yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak 2022 bagi membantu meningkatkan kesedaran rakyat temtang kepentingan menjaga kebersihan.

“DUN Pulai Sebatang telah menubuhkan pasukan ‘pengintip’ bagi merakamkan individu yang peka dan prihatin dengan masalah di sekitar bandar Pontian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka yang dirakamkan mengutip sampah walaupun sekecil manapun akan diberikan sagu hati antara RM10 atau RM50 bergantung wang ada pada ‘pengintip’ itu,” katanya pada Majlis Penutupan Karnival Lestari Sekolahku Peringkat Negeri Johor anjuran Kelab Kitar Semula  Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Chih dan SJKC Tah Tong di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini yang turut dihadiri Guru Besar SJKC Chi Chih, Lee Hwee Ngo dan SJKC Tah Tong, Soo Yuan Hun.

Program tersebut diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan Kelab Kitar Semula SJKC Chi Chih yang ditubuhkan pada 2014.

Hasrunizah berkata, walaupun Tahun Melawat Johor 2026 akan berlangsung dua tahun lagi, namun usaha mendidik masyarakat untuk bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran perlu diterapkan setiap masa.

“Tanggungjawab menjaga kebersihan bukan sahaja oleh agensi dan jabatan kerajaan, terutamanya Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) mahupun SWM Environment, malah juga orang ramai,” katanya.

Sementara tu, Hwee Ngo berkata, kelab kitar semula sekolah tersebut mengadakan aktiviti kutipan barangan terpakai setiap bulan dengan kerjasama komuniti setempat di kawasan Ayer Baloi serta ibu bapa murid-murid di sekolahnya.

“Kami telah meraih pelbagai kejayaan dalam pertandingan kitar semula yang dianjurkan oleh pelbagai pihak sama ada di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN