JOHOR BAHRU: Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas broker tanah kontrak yang didapati bersalah membunuh anak tirinya berusia enam tahun pada 2011.
Keputusan itu dibuat panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah selepas menolak permohonan Azman Abd. Rahman, 50, untuk mengenepikan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya.
Susulan itu, tertuduh akan kekal menjalani hukuman gantung sampai mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas gagal dalam semakan hukuman itu.
Berdasarkan pertuduhan, Azman didakwa membunuh Muhammad Firdaus Mohd. Dan di sebuah kebun kelapa sawit di Gadek, Alor Gajah, Melaka antara pukul 10.30 pagi hingga 2.15 petang, 10 Oktober 2011 dan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Pada 5 Jun 2015, Mahkamah Tinggi Melaka menjatuhkan hukuman mati ke atas tertuduh yang berasal dari Alor Gajah itu selepas didapati bersalah membunuh anak tirinya itu.
Pada 7 September 2016 dan 5 Oktober 2017, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengekalkan hukuman terhadap lelaki tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar, manakala tertuduh diwakili peguam bela, S. Vijay Rathnam.
Hasil bedah siasat terhadap mayat mangsa menemukan lebih 72 kesan kecederaan dan pendarahan otot, paru-paru, kepala dan perut berpunca daripada hentakan dengan objek tumpul.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian tertuduh didakwa membawa mangsa keluar pada pukul 10.30 pagi ke kebun kelapa sawit di Kampung Pinang, Gadek dan kira-kira pukul 10.30 pagi hingga 2.15 petang hari sama, mangsa terbuang air besar di dalam seluar ketika dalam perjalanan ke ladang itu yang menimbulkan kemarahan tertuduh.
Sebaik tiba di tempat kejadian tertuduh bertindak memukul mangsa dengan ranting kayu serta menendangnya sebelum mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah.
Sepanjang perbicaraan kes berkenaan, seramai 13 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan.










