PONTIAN: Seorang anak yang diharapkan dapat menjadi peneman dan tempat bergantung kepada seorang ibu tunggal, kini terlantar akibat penyakit saraf yang dihidapi berpunca kerap terjatuh sewaktu bekerja.
Zaitun Hamzah, 60, berkata, anaknya, Muhammad Azizul Shahrin Mohd. Amin, 28, telah dibawa mendapatkan pemeriksaan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat selepas hari raya Aidilfitri tahun ini.
Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan, anaknya perlu menjalani pembedahan di tengkuk pada 9 Mei lalu kerana doktor mendapati tulang di bahagian tersebut menekan saraf menjadi punca dia selalu terjatuh.
Menurut Zaitun, berikutan pembedahan tersebut, Azizul berada selama sebulan di HSNI sebelum dibenarkan keluar pada 30 Mei lalu, namun perlu mendapat rawatan susulan di hospital yang sama.
“Setakat ini telah empat kali saya membawa Azizul ke HSNI, Batu Pahat menggunakan perkhidmatan van ambulans swasta dengan bayaran RM28o sehari,” katanya ketika ditemui di Jalan Parit Betak, Benut, disini.
Tambah Zaitun, sebelum ini anaknya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Pekan Parit Betak memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 hingga RM1,200 yang digunakan bagi menampung perbelanjaan harian.
Katanya, Azizul merupakan anak ketiga daripada empat beradik, dengan dua orang kakaknya dan adiknya sudah berumah tangga serta masing-masing mempunyai tanggungjawab kepada keluarga sendiri.
Menurutnya, keperluan untukanaknya ialah lampin pakai buang yang bersaiz 3XL dan hanya boleh dibeli melalui dalam talian dengan setiap bungkusan mengandungi 10 keping yang berharga RM25.
“Setiap hari Azizul memerlukan 3 atau 4 keping lampin pakai buang, dengan setiap bungkus dapat bertahan tiga atau empat hari sahaja sebelum saya kena buat pembelian lagi,” jelasnya.
Katanya, doktor memberitahu, penyakit yang menimpa anaknya itu dijangka sembuh dalam tempoh 6 hingga 12 bulan, namun Azizul perlu terus mendapat rawatan susulan di HSNI sebulan sekali.
Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga ini boleh menghubungi Zaitun Hamzah ditalian (019-8392130) atau di No. 5 Rumah Sewa Sani, Jalan Parit Betak T/L 12, 82200 Benut, Pontian.
Mereka juga boleh menyumbang terus kepada akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0100741100012083 atas nama Zaitun Hamzah.










