PUTRAJAYA: Kerajaan memberi komitmen untuk menyegerakan cadangan pelaksanaan Akta Saraan Hakim Syarie bagi memartabatkan status hakim mahkamah syariah agar setaraf dengan kehakiman mahkamah sivil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut sedang mendapat perhatian kerajaan kerana terdapat keperluan bagi mengimbangi antara Skim Perkhidmatan Kehakiman Syariah dan Skim Perkhidmatan Kehakiman Sivil.
“Saya dimaklumkan tentang Akta Saraan Hakim Syarie, sekarang ini ikut dalam skim PTD biasa (di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam), jadi insya-Allah kita minta Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)) menyegerakan untuk kita angkat supaya ada Akta Saraan Hakim Syarie.
“Saya mudah sahaja, runding baik-baik selesai,” kata beliau ketika berucap dalam majlis perasmian Konvensyen Memartabatkan Perundangan Syariah Di Malaysia di sini semalam.
Sebelum ini Skim Saraan Hakim Syarie diletakkan di bawah Skim PTD kerana hakim syarie merupakan pegawai perkhidmatan awam. Berbeza dengan Hakim mahkamah sivil, ia terletak di bawah Akta Saraan Hakim 1971.
Rekod 2023 mendapati jawatan Hakim Syarie seramai 161 orang manakala jawatan Ketua Hakim Syarie Negeri-Negeri 15 orang.
Cadangan pelaksanaan akta itu wajar dipertimbangkan bagi memastikan tiada lagi pandangan yang merendahkan status hakim syarie.
Ia juga akan memberi kekuatan dan keberanian kepada hakim-hakim syarie untuk mengaplikasikan perundangan dengan lebih berwibawa.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, Majlis Raja-Raja mahu kajian mengenai pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) dijalankan dengan teliti dan tidak gopoh sebelum mengeluarkan sebarang pandangan.
Menurut beliau, ini kerana pelaksanaan untuk meningkatkan kedudukan dan martabat mahkamah syariah kelak, tidak dilihat ada kelemahan ketara.
Beliau berkata, setakat ini, kajian berkenaan tidak dibantah atau mempunyai masalah sebaliknya ‘direstui’ Ketua Hakim Negara dan Majlis Raja-Raja.
“Alang-alang kalau mahu buat pindaan, buat pindaan yang betul-betul dan menyeluruh supaya kesungguhan kita dalam melaksanakannya tidak dipertikai dan sekurang-kurangnya jelas dengan hujah kita mencakupi dalam semua bidang.
“Pada Ogos ini insya-Allah kita bentangkan (hasil kajian awal kepada Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi hal Ehwal Agama Islam (MKI), tetapi tentu tidak dapat dimuktamadkan kerana perbincangan saya dengan Sultan Perak sebaik-baiknya diangkat ke peringkat antarabangsa.
“Kita rujuk semula sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dan kemudian kepada sidang Majlis Raja-Raja Melayu kerana soal Islam, adat dan kewarganegaraan, hal-hal tertentu mesti mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja,” katanya.
Anwar berkata, kajian berkenaan itu juga akan menjadi satu dokumen kukuh yang boleh ditelaah di peringkat antarabangsa, justeru usaha untuk menyelaras pandangan semua pihak perlu dilakukan termasuk dalam kalangan pakar perundangan Islam antarbangsa.
Beliau berkata, usaha penelitian ini bukan satu dalih untuk melengahkan atau meremehkan usaha yang lalu, malah ia ditambah baik kerana ada beberapa kelemahan besar dalam peruntukan itu. – UTUSAN










