KUALA KANGSAR: Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengharapkan keadilan untuk dirinya dan rakan-rakan menjelang keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengenai kedudukan mereka.
Ia susulan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi membabitkan enam Ahli Parlimen yang terhenti keahliannya secara serta-merta kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 20 Jun lalu.
Iskandar berkata, beliau sendiri telah menyerahkan surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 27 Jun lalu untuk menerangkan situasinya.
PERUNTUKAN
Beliau bertegas, keputusannya menyokong Perdana Menteri daripada parti lawan adalah atas pertimbangan supaya mendapat peruntukan untuk membantu penduduk kawasan Parlimennya.
“Saya menyokong PM kerana mahu mendapatkan peruntukan bagi membantu rakyat di Kuala Kangsar. Pada masa sama, saya tetap dengan pendirian setia bersama Bersatu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Iskandar mengharapkan pertimbangan yang sewajarnya kerana percaya tindakannya adalah berlandaskan keperluan rakyat di Kuala Kangsar sepanjang penggal ini.
“Sokongan ini juga dibuat kerana mahukan memastikan kestabilan negara dan rakyat yang sedang berdepan cabaran hidup serta ekonomi,” katanya.
Beliau juga menyatakan sebab-sebab tersebut ada dinyatakan dalam suratnya kepada Johari yang dijangka membuat keputusan itu pada minggu depan.
Katanya juga, isi kandungan suratnya itu adalah berdasarkan situasi dirinya dan keadaan di Kuala Kangsar, dan tidak tahu apa apakah penerangan yang diberikan oleh Ahli Parlimen lain yang berdepan perkara sama. – UTUSAN








